Bekas juruterbang AirAsia dapat pampasan RM268,620 kerana dipecat secara konstruktif

KUALA LUMPUR — Bekas juruterbang syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad berjaya mendapatkan pampasan RM268,620 selepas Mahkamah Perusahaan memutuskan beliau dipecat secara konstruktif daripada pekerjaannya.

Pemecatan konstruktif ialah istilah undang-undang menggambarkan situasi yang mana pekerja meletakkan jawatan dalam protes kerana tindakan majikan yang melanggar syarat asas kontrak pekerjaan.

Juruterbang terbabit, Eric Koh Kim Lai yang bekerja dengan syarikat penerbangan itu bermula Julai 2018 meletak jawatan selepas digantung kerja pada 2022 akibat pandemik COVID-19.

Ketika itu, syarikat memotong gaji asas Kim Lai sebanyak 75 peratus, dengan mengaitkan pengurangan itu kepada penerbangan yang dibatalkan disebabkan oleh sekatan sempadan.

Kim Lai mendakwa dia terpaksa meletakkan jawatan kerana keputusan untuk mengurangkan gaji menjejaskan mata pencariannya.

Bagaimanapun, AirAsia menyatakan bahawa Kim Lai (pihak penuntut) mengemukakan peletakan jawatannya secara sukarela pada 27 April 2022 dan memaklumkan hari terakhirnya bekerja berkuat kuasa pada 4 Mei 2022.

Syarikat itu juga mendakwa gaji terakhir Kim Lai ialah pada RM3,630.00.

Mahkamah Perusahaan pada 7 November lalu, bagaimanapun membenarkan tuntutan Kim Lai dan memerintahkan AirAsia membayar pampasan itu selepas memutuskan bahawa, meletakkan pekerja dengan cuti tanpa gaji dan mengurangkan gaji sehingga tempoh yang tidak ditentukan, bukan amalan buruh yang adil.

Dalam keputusannya, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Vanithamany Sivalingam memerintahkan AirAsia membayar gaji tertunggak Kim Lai selama 24 bulan dan pampasan sebagai ganti pengembalian semula gaji sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan.

Berdasarkan kepada kes Kim Lai, pada 1 Julai 2020, syarikat mengeluarkan surat kepadanya untuk mengesahkan secara unilateral pengenaan lapan hari cuti tanpa gaji bermula Jun 2020 dan seterusnya sehingga diberitahu kelak.

Dengan itu, gaji beliau telah dikurangkan daripada RM13,000 kepada RM9,000 iaitu penurunan sebanyak 31 peratus.

Pada 6 Oktober 2020, syarikat mengeluarkan satu lagi surat kepadanya untuk mengesahkan secara unilateral pengenaan 15 hari cuti tanpa gaji sehingga diberitahu kelak, di mana gajinya dikurangkan lagi daripada RM9,000 kepada RM5,500 iaitu penurunan sebanyak 57 peratus.

Dalam penghakimannya, Vanithamany berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa ia bukan sebahagian daripada syarat kontrak (kontrak pekerjaan pertama) bahawa gaji pihak penuntut adalah berdasarkan bilangan dia melakukan penerbangan.

Beliau berkata, bukan Kim Lai yang enggan melaksanakan tugasnya, tetapi ia disebabkan oleh pandemik bahawa pesawat itu dilarang beroperasi.

Katanya, bagi syarikat untuk membayangkan bahawa ia telah cukup bermurah hati untuk membayar (gaji) walaupun penuntut tidak melakukan penerbangan pada tempoh tertentu, adalah hujahan yang tidak boleh dipertahankan.

“Ia adalah terma asas kontrak bahawa syarikat membayar kepada pihak penuntut, gaji yang dipersetujui dengan segera mengikut terma dan syarat yang dibentangkan dalam kontrak pertama,” katanya.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan itu selanjutnya berkata, pihak penuntut memberi kerjasama dan bertolak ansur dengan cuti tidak berbayar dan pengurangan gaji sebanyak 75 peratus.

Vanithamany berkata, tambahan pula beliau juga tidak dibayar gaji selama 11 bulan yang diakui syarikat mulai Jun 2020.

Menurut pengerusi itu, Kim Lai juga tidak mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaan atas sebab lain, dan beliau meletak jawatan selepas dua minggu dari tarikh perjumpaan ‘townhall’ diadakan.

Katanya, syarikat itu gagal membuktikan sebab mengapa ia melaksanakan penggantungan kali ketiga dan mengapa gaji pihak penuntut dikurangkan kepada 30 peratus dengan cuti tanpa gaji.

“Sebaliknya, pihak yang menuntut telah membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa sebab dia meninggalkan syarikat adalah kerana tindakan syarikat.

“Pekerjaan adalah sebahagian daripada rezeki seseorang.

“Jika pekerja memutuskan untuk meninggalkan syarikat kerana layanan tidak adil, penindasan atau penganiayaan, dia pasti memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusannya kerana ia mungkin menjejaskan mata pencarian dan komitmennya,” katanya.

Vanithamany berkata, Kim Lai perlu memilih antara meneruskan pekerjaan tanpa gaji atau mengambil risiko kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, apabila syarikat memungkiri janji yang dibuat dalam perjumpaan townhall pada 25 November 2021, Kim Lai memutuskan bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan pekerjaan itu kerana dia tidak dapat mengekalkannya lagi.

Jelasnya, pada masa itu, pihak yang menuntut meneruskan pekerjaannya dengan syarikat terbabit selama hampir dua tahun dengan gaji minimum dan tanpa sebarang gaji selama 11 bulan.

Beliau berkata syarikat itu dalam hujahannya bagaimanapun menyatakan bahawa sebab penuntut meninggalkan syarikat adalah kerana dia memperoleh pekerjaan lain.

Katanya, pihak penuntut telah mendapat pekerjaan lain untuk menyara hidupnya dan tidak ada yang salah mengenainya.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page