Kategori: ADDIN

  • 9 zuriat syaitan

    Foto hiasan – Unsplash

    Berikut adalah zuriat syaitan seperti disebut dalam Nasoihul Ibad:

    1. Zallaitun (dipanggil juga Zallanbur).

    Dalam melaksanakan tugasnya, ia menggoda peniaga agar suka berdusta, sumpah palsu, memuji perniagaan sendiri dan curang terhadap timbangan. Dalam kamus juga disebutkan, tugas Zallaitun adalah memisahkan antara suami dan isteri serta menyebarkan aib seorang wanita kepada suaminya.

    2. Watsin

    Penggoda dalam hal ehwal musibah dan bencana. Ia menggoda agar si mangsa suka berteriak dan memukul diri sendiri. Ada yang berpendapat syaitan bencana bernama Tabar.

    3. A’wan

    Dalam menunaikan tugasnya, ia selalu mempengaruhi penguasa, pemerintah atau raja agar melakukan aniaya.

    4. Haffaf – bertugas menggoda pemabuk.

    5. Murrah – menggoda pada permainan seruling (muzik).

    6. Laqaus (menggoda orang Majusi – dipanggil juga Laqis) – ada pendapat mengatakan Laqis dan Walhan bertugas menggoda pada taharah (bersuci) dan solat. Mereka berusaha menimbulkan waswas.

    Sesetengah ulama menyebut pengganti Laqaus, Murrah dan Haffaf dengan tiga anak Iblis lagi iaitu:

    A’war; bertugas pada perzinaan. Ia meniup kemaluan lelaki dan wanita.

    Wasnan; bertugas menggoda orang tidur. Ia membebani kepala dan menarik pelupuk mata agar tetap tidur dan tidak terjaga untuk mendirikan solat dan yang lainnya. Tapi ia suka membangunkan orang tidur untuk melakukan perbuatan buruk.

    Abyadh; bertugas menggoda nabi dan wali. Adapun nabi, mereka selamat daripada godaannya, sedang wali selalu berjuang dalam menghadapi godaannya. Sesiapa yang diselamatkan Allah, maka selamatlah dan sesiapa yang tidak diselamatkan, maka terperangkap dalam jaring godaannya.

    7. Masauth (dipanggil juga Mathaun) – menggoda pada perkara membabitkan berita sehingga penerima berita tidak tahu lagi sumbernya (memutar belit suatu berita sehingga menimbulkan fitnah).

    8. Dasim – bertugas menggoda di rumah-rumah, sehingga jika suami datang tidak memberi salam serta tidak pula menyebut nama Allah, lalu ia kobarkan pertengkaran sampai akhirnya terjadi talak (cerai) dan khuluk (tebus talak).

    Pendapat lain mengatakan, Dasim adalah nama untuk syaitan yang bertugas menggoda pada hal membabitkan makanan. Ia masuk rumah dan makan bersama orang digoda sebaik saja tidak menyebut nama Allah. Ia juga tidur bersama jika alas tidur dan pakaian tidak dilipat rapi dengan dibacakan Basmalah.

    9. Walhan – menimbulkan waswas dalam wuduk, solat dan ibadat lain. Ada yang mengatakan Walhan suka mengganggu dalam bersuci sehingga sentiasa membazirkan air.

  • Lima akibat sesudah mati kerana lupa lima perkara semasa hidup

    Foto hiasan – Unsplash

    Dalam Tanbihul Ghafilin disebutkan, selayaknya setiap orang memikirkan lima perkara:

    1. Memikirkan dosanya yang lalu, sebab dia melakukan dosa tapi tidak mengetahui apakah dimaafkan ataupun tidak.

    2. Dia melakukan amalan kebaikan tapi belum mengetahui diterima ataupun tidak.

    3. Dia mengetahui apa yang telah lalu dari masa hidupnya dan belum mengetahui bagaimana kesudahannya.

    4. Dia mengetahui bahawa Allah membuat tempat, maka di tempat yang mana dia akan masuk (tempat yang bernama syurga atau neraka).

    5. Dia tidak mengetahui apakah Allah reda kepadanya atau tidak.

    Maka, sesiapa tidak memperhatikan lima perkara itu di masa hidup, dia akan menerima lima macam sesudah mati.

    1. Menyesal terhadap apa yang dia tinggalkan kepada ahli waris yang akan menjadi musuhnya.

    2. Menyesal kerana menunda-nunda amalan kebaikan sehingga sedikit amalan kebaikannya.

    3. Menyesal kerana melihat dosa yang amat banyak sehingga meminta izin kembali untuk taubat dan tidak diizinkan.

    4. Menyesal kerana ramai yang menuntutnya (membuat tuntutan) dan tidak dilunas tuntutan itu melainkan dengan amalan.

    5. Allah murka kepadanya dan tidak ada jalan untuk minta reda-Nya.

  • Elak 10 perkara dalam amalan

    Foto hiasan – Unsplash

    Ada disebutkan dalam Minhajul Abidin, sesetengah guru mengatakan, manusia wajib memelihara amalannya (ibadat) daripada 10 perkara:

    1. Munafik

    2. Riyak (menunjuk-nunjuk, memperlihatkan)

    3. Ikhlas, tetapi mengandungi riyak

    4. Mengungkit-ungkit

    5. Mengganggu orang lain

    6. Berbuat sesuatu yang akan disesali

    7. Sifat ujub (berasa ajaib, hairan dengan amal ibadatnya…seperti berasa dalam hatinya wah atau oh…bagusnya aku dapat solat banyak)

    8. Menyesali sesuatu perbuatan

    9. Lalai

    10. Takut menghadapi hinaan

    Adapun lawan daripada sepuluh perkara itu ialah:

    1. Ikhlas dalam beramal

    2. Ikhlas dalam memohon pahala kepada Allah

    3. Penuh keikhlasan

    4. Menyerahkan segala amalan kepada Allah

    5. Menjaga diri, jangan sampai menyakiti hati orang lain

    6. Membulatkan tekad

    7. Mengingati kebaikan dan jasa Allah

    8. Menggunakan waktu sebaik-baiknya untuk beramal

    9. Mengagungkan taufik Allah

    10. Semata-mata (hanya) takut kepada Allah

  • Lima tahap capai takwa

    Foto Unsplash

    Daripada sesetengah hukama (hukama kata jamak kepada hakim ertinya ahli hikmah atau orang bijaksana) sebagaimana dilaporkan dalam Nasoihul Ibad: (Bagi mencapai takwa) ada lima tahap, sesiapa berjaya merentasi seluruhnya, dia mendapat ketakwaan sempurna iaitu:

    1. Memilih kesukaran atas kenikmatan.

    2. Memilih kesungguhan (rajin) atas kerehatan (malas).

    3. Memilih kelemahan atas keperkasaan.

    4. Memilih diam atas bercakap yang tidak berguna.

    5. Memilih mati atas kehidupan.

    Penjelasan

    Bagi mencapai takwa terbentang ilmu yang panjang, seperti jalan-jalan di atas bukit. Sesiapa yang dapat merentasi tahap itu, dia memperoleh takwa yang sempurna iaitu dengan meninggalkan perbuatan dikehendaki nafsu dan menjauhi larangan Allah dengan cara berikut:

    1. Memilih kesukaran atas (berbanding) kenikmatan iaitu memilih kesukaran melawan hawa nafsu yang cenderung kepada kesenangan dan kenikmatan, untuk melakukan ibadat yang kadangkala dirasakan beban ke atasnya.

    2. Memilih kesungguhan (rajin) atas (berbanding) kerehatan, maksudnya kesungguhan dalam usaha taqarrub (bersungguh-sungguh dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah).

    3. Memilih kelemahan atas keperkasaan iaitu bersikap tawaduk dan rendah diri (tidak meninggi diri, tidak angkuh, tidak berasa lebih hebat). Kadang-kadang kerana sikap ini, maka orang beriman dipandang lemah di mata orang bukan Islam. Padahal orang beriman itu sebenarnya kuat – buktinya mereka dapat bersikap tawaduk.

    4. Memilih diam atas (berbanding) banyak cakap, iaitu meninggalkan ucapan yang di dalamnya tidak mengandungi sebarang kebaikan. Banyak cakap selalunya menyebabkan banyak silap dan begitu juga banyak tulis, maka banyak merapu-rapu.

    5. Memilih mati atas (berbanding) hidup. Ertinya selalu bersedia untuk menghadapi mati dengan lebih banyak mengumpulkan bersama untuk dibawa bersamanya iaitu bekalan akhirat.

  • Empat buat hati hidup

    Foto Unsplash

    Menurut seorang ahli hikmah (bijaksana), hati hidup dengan empat:

    1. Ilmu

    2. Reda

    3. Qanaah

    4. Zuhud

    Ilmu iaitu yang menimbulkan reda. Reda yang menyampaikan kepada qanaah (berasa cukup). Qanaah menyampaikan kepada zuhud, bererti meremehkan dunia (tidak rakus, hati tidak melekat pada habuan dunia).

    Zuhud pula ada tiga tingkat:

    1. Mengenal dunia dan meninggalkannya.

    2. Ibadat kepada Allah, dengan adab.

    3. Rindu kepada akhirat dan berusaha mencapainya.

  • Enam menuju ke syurga

    Foto Dreamstime

    Menurut Sayidina Ali bin Abi Talib RA, sesiapa menghimpun enam macam, maka bererti telah benar-benar berusaha untuk mendapatkan syurga dan lari dari api neraka:

    Mengenal Allah, lalu mentaati-Nya.

    Mengenali syaitan, lalu menentangnya.

    Mengenali hak (kebenaran), lalu mengikutinya.

    Mengenali batil (kepalsuan, yang tidak benar, salah), lalu menghindarinya.

    Mengenali dunia, lalu mengabaikannya.

    Mengenali akhirat, lalu berusaha untuk mencapainya. (Dilaporkan dalam Tanbihul Ghafilin)

    1. Mengenal Allah dan mentaati-Nya

    Allah menciptakan, menghidupkan dan mematikan. Dia memberikan rezeki. Manusia wajib mentaati Allah iaitu dengan melakukan segala perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.

    “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):

    “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

    2. Mengenali syaitan dan menentang atau memusuhinya

    Syaitan adalah musuh yang perlu diawasi.

    “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.” (Surah Fathir, ayat 6)

    Ayat ini menyatakan permusuhan syaitan terhadap manusia dan tipu dayanya yang mesti dijauhi.

    3. Mengenali akhirat, lalu menuntutnya (membekalkan diri untuk ke sana)

    Akhirat adalah lebih baik dan kehidupannya berkekalan.

    “Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A’la, ayat 17)

    4. Mengenali dunia dan mengabaikannya

    “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba- lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak…” (Surah al-Hadid, ayat 20)

    5. Mengenali hak (yang benar), lalu mengikutinya

    Allah Taala, Nabi Muhammad SAW, Islam, al-Quran dan akhirat semuanya adalah benar.

    “Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawa Allah Dialah saja Tuhan yang sebenar- benarnya dan bahawa segala yang mereka sembah selain daripada Allah itulah yang nyata palsunya…” (Surah al-Hajj, ayat 62)

    “Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik), sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Isra, ayat 81)

    “Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (al-Quran), padahal ia adalah benar…” (Surah al-An’am, ayat 66)

    6. Mengenali yang batil (perkara salah) dan menghindari atau menjauhinya

    “Berlakunya yang demikian kerana sesungguhnya orang-orang kafir menurut perkara yang salah dan sesungguhnya orang-orang beriman menurut perkara yang benar daripada Tuhan mereka…” (Surah Muhammad, ayat 3)

    Mereka yang menurut perkara salah beroleh kerugian sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Mukmin, ayat 78 bermaksud: “…rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.”

  • Dosa terakhir

    Foto hiasan – Unsplash

    Ibnu Athaillah memberikan rumusan dalam kalam (ungkapan) hikmahnya sebagaimana (dapat difahami) seperti berikut:

    “Apabila tertimpa pada dirimu suatu dosa, maka janganlah dosa itu menjadi sebab putus asa kamu daripada menghasilkan istiqamah di sisi Tuhanmu. (Sebab) yang demikian itu (kadang-kadang) sebagai dosa terakhir ditakdirkan ke atasmu.”

    Manusia adalah makhluk yang lemah, tidak terlepas daripada berbuat dosa kepada Allah atau sesama manusia, sama ada disengajakan atau tidak.

    Meskipun telah melakukan dosa, seseorang seharusnya tidak berputus asa, tetapi hendaklah dia fikir dan yakin bahawa pintu taubat masih terbuka untuknya.

    Dengan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dosa dan kesalahan dapat diampunkan oleh-Nya, dengan syarat bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benar).

    Dengan sebab dosa yang dilakukan, janganlah sampai membawa kemunduran dalam melaksanakan ibadat. Hendaklah keadaan yang demikian itu mendorong untuk kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.

    Apabila jatuh, jangan dibiarkan diri terus jatuh, tetapi bangunlah. Apabila berdiri, janganlah dibiarkan laksana patung sebagai benda kaku, tetapi perbaharuilah jiwa dan semangat untuk melangkah ke depan. Bahkan kalau boleh berlari secepat mungkin untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan. Siapa tahu, barangkali dosa itu adalah dosa terakhir.

    Firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad); wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat) janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

    Seseorang dapat terhindar daripada perbuatan maksiat (perbuatan dosa) menerusi tiga perkara:

    1. Rajin dan istiqamah dalam bertaubat kepada Allah, iaitu berterusan bertaubat dalam setiap waktu. Contohnya, setiap malam selepas solat Isyak atau setiap hari selepas solat Subuh. Sama ada telah melakukan dosa atau tidak, hendaknya seseorang bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya. Ini adalah satu usaha untuk menghindarkan diri daripada dosa.

    2. Cara secara langsung daripada Allah. Dengan kehendak Dia seseorang dapat terhindar daripada segala dosa – mungkin dengan cara mematikan seseorang itu sebelum dia terjebak dalam perbuatan dosa.

    3. Dengan cara adanya pelbagai rintangan. Maksudnya seseorang tidak sampai terjerumus kepada perbuatan maksiat kerana adanya pelbagai halangan yang menyebabkan dia terhindar daripada dosa.

    Apa yang penting ialah, jika kita tidak terlintas lagi untuk mengerjakan dosa, baik dosa besar mahupun kecil, bererti diri kita sudah terlepas daripada hakikat mengekalkan dosa.

    Di sini, ditekankan beberapa perkara:

    * Manusia umumnya tidak terlepas daripada dosa. Namun, sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang sedar dan insaf bahawa dirinya telah melakukan maksiat (perkara dosa).

    * Manusia yang sedar dan insaf itu ialah orang yang selalu bertaubat kepada Allah, mengharapkan keampunan dan kasih sayang-Nya.

    * Orang yang mengerjakan dosa laksana jatuh. Justeru jangan dibiarkan diri jatuh dan terus jatuh, tetapi hendaknya dia bangun, berdiri tegak, bersiap dan berjalan menuju ke tempat yang menjadi tujuan. Seseorang tidak harus patah semangat untuk menghampirkan diri kepada Allah dengan sebab telah melakukan dosa. Sebab dosa itu dapat diampunkan oleh Allah, jika dia bertaubat dengan taubat nasuha. Siapa tahu dengan berkat taubat itu, maka dosa dilakukan itu adalah penutup segala dosa, seterusnya menjadi ahli ibadat yang istiqamah.

    Rujukan – Nasoihul Ibad, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Kelebihan jaga solat

    Foto Unsplash

    Dunia berputar ligat. Ibarat roda berpusing laju, jika kita meletakkan sebelah kaki ke atasnya, kita boleh terhumban. Tak begitu?

    Ambil contoh suasana jalan raya di pagi hari…bukan main sibuk, masing-masing memecut laju…kereta, motosikal serupa – tak kena gaya, tersadai di bahu jalan. Hati-hati!

    Dalam kesibukan mengejar habuan masing-masing, ada orang lupa tanggungjawabnya terutama ibadat seperti solat. Zuhur, Asar…serupa baginya…buat tak kisah.

    Sesetengahnya asyik dengan keseronokan…terpaku di depan kaca televisyen ataupun tenggelam dengan sorakan di padang dan asyik dengan aktiviti melalaikan…sehingga solat terabai, terlewat waktu. Padahal solat itu lebih utama jika dibandingkan dengan seisi dunia.

    Hakikatnya, solat membuatkan hidup kita berasa bahagia dan sentosa.

    Solat menjadi penyelamat dan cahaya penyeri di dunia mahupun akhirat. Justeru kita selayaknya menjaga dan mengerjakannya dengan sempurna.

    Orang beriman wajib mengerjakan solat. Firman-Nya pada ayat 103, surah an-Nisa, bermaksud:

    “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang beriman, yang tertentu waktunya.”

    1. Solat cegah kejahatan

    Ternyata, solat adalah satu kaedah bagi mencegah diri daripada melakukan kejahatan. Ertinya, solat yang biasanya kita tunaikan dalam tempoh hanya beberapa minit itu mampu menjadi pendinding ataupun benteng daripada perbuatan jahat.

    Firman-Nya pada ayat 45, surah al-Ankabut bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

    Dalam Riyadus Solihin, dinyatakan bahawa al-Baghawi berkata: “Perbuatan keji adalah perbuatan yang jahat, sedangkan perbuatan mungkar adalah sesuatu yang tidak dikenali syariat.”

    Ibnu Mas’ud dan yang lain dilaporkan berkata: “Dalam solat itu adalah sesuatu yang boleh mencegah dan menghentikan kemaksiatan kepada Allah. Maka, sesiapa yang solatnya tidak dapat memerintahkannya pada kebaikan dan mencegah kemungkaran, solatnya itu tidak akan menambah (sesuatu) melainkan semakin jauh dari Allah.”

    Dalam riwayat Imam Ahmad, Abu Hurairah RA menceritakan, seseorang datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Polan (merujuk kepada seseorang yang tidak disebutkan nama) melakukan solat malam, tetapi pada pagi harinya dia mencuri.”

    Maka, Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia akan dihalangi oleh solatnya daripada hal yang engkau sebutkan.”

    2. Solat hapus kejahatan

    Imam Muslim meriwayatkan, Ibnu Mas’ud RA menceritakan bahawa ada seorang lelaki mencium seorang wanita, lalu dia mendatangi Nabi SAW dan mengkhabarkan kejadian itu kepada baginda.

    Maka, turunlah firman Allah (yang bermaksud): “Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam.

    “Sesungguhnya amal- amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan.” (Surah Hud, ayat 114)

    Lelaki itu lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah ini khusus untukku?”

    Baginda menjawab: “Untuk semua umatku.”

    3. Solat sucikan diri

    Abu Hurairah RA pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Bagaimana pendapat kalian seandainya ada sungai di depan pintu seorang daripada kalian, lalu dia mandi lima kali setiap hari di dalamnya, apakah kalian menganggap masih ada kekotoran yang tertinggal padanya?”

    Sahabat menjawab: “Tidak akan ada kotoran yang tertinggal sedikit pun padanya.”

    Lantas, baginda bersabda: “Seperti itu pula halnya dengan solat lima waktu, yang dengannya Allah akan menghapuskan semua kesalahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam satu riwayat Muslim, daripada Utsman bin Affan RA, dia berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim didatangi solat fardu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya, melainkan hal itu menjadi penebus dosanya terdahulu, selama dia tidak melakukan dosa besar. Dan itu (berlaku) pada setiap zaman.”

    Begitulah antara beberapa kelebihan ataupun keistimewaan bagi orang yang mengerjakan solat. Banyak lagi fungsi dan manfaatnya.

    Sebab itu kita sangat dituntut untuk mengerjakannya, namun bukan dengan perasaan megah dan sambil lewa tetapi dengan tawaduk dan khusyuk.

    Generasi soleh dahulu sangat menjaga solat dan kita sepatutnya meniru jejak langkah mereka yang tidak sekali-kali dilupakan oleh harta benda. Segala habuan dunia tidak langsung menggugat keimanan mereka untuk tetap memelihara solat.

    Muhammad bin Sirin dilaporkan pernah berkata:

    “Andai saya disuruh pilih antara solat dua rakaat dengan syurga, nescaya saya pilih solat dua rakaat kerana dengan dua rakaat itu tercapai reda Allah, sedangkan di dalam syurga hanya kepuasan nafsuku.”

    Bagaimana agaknya dengan kita, jika hendak dibandingkan dengan kesungguhan generasi soleh dahulu? Mereka mengutamakan solat, tetapi kita…?

    Pesan Qatadah: “Jagalah solat kerana ia sebaik-baik akhlak bagi orang beriman.”

  • Rahsia orang bahagia

    Foto hiasan – Unsplash

    Ada orang berkata: “Orang paling bahagia adalah orang mempunyai hati yang alim, badan yang sabar serta puas dengan apa yang ada di tangannya.”

    Kata-kata itu dipetik daripada Nasoihul Ibad. Dihuraikan bahawa hati alim (mengetahui) ialah hati yang menyedari Allah sentiasa menyertainya di mana saja dia berada.

    Badan sabar ialah sabar dalam menunaikan perintah agama dan dalam menghadapi bencana atau musibah.

    Puas dalam menerima apa adanya adalah sikap berpuas hati dengan apa yang ada dengan penuh reda terhadap anugerah Allah dan tidak melihat atau mempunyai harapan kepada yang lain.

    Harta semata-mata

    Namun, ramai manusia keliru dalam mencari bahagia. Tumpuan mereka kepada harta semata-mata. Mereka menjadi sangat rakus. Pantang ada ruang dan peluang, pantas direbut demi mendapatkan habuan bernama harta.

    Apabila begitu, semua dikaut, selagi terdaya dalam apa cara sekalipun – kadangkala tanpa peduli hak siapa, tiada tolak ansur dan tanpa kasihan belas. Sifat mulia manusiawi terhakis apabila diri bermahkota harta. Banyak contoh boleh diperhatikan di lapangan sekeliling kita.

    Ya, tidak dinafikan sesetengah orang bertungkus-lumus kepada pencarian harta halal. Namun dalam pencarian harta itu, sering kali mereka menjadi kurang tertarik kepada tuntutan akhirat. Solat jadi hambar (tak khusyuk), derma atau membantu yang lain dengan hartanya jauh sekali kerana berasa ‘sayang’ pada harta. Bermacam-macam alasan mungkin berlegar di kepala, sebagai contoh ‘bukan mudah mahu dapat duit’, ‘eh…duit aku…suka hati akulah’, ‘kamu malas…aku rajin, sebab itu aku dapat’, ‘aku yang kerja siang dan malam…kamu apa yang kamu buat’. Oh bukan main lagak lagi.

    Kerana harta, ada orang tidak kenal orang, lupa kawan (yang suatu ketika membantunya walaupun tak banyak), lupa keluarga (yang satu ketika membelai, membela, mengajarnya) dan agama (yang meletakkan arah hidupnya berpedoman). Pada mereka, harta memberikan kebahagiaan, kedamaian dan kemuliaan. Hidupnya dirasakan cukup selesa, cukup hebat dengan harta diperolehinya. Berasa selamat dan bahagia. Tapi sejauh mana kebenarannya? Ketika mana Tuhan bagi sakit sedikit saja, makan tak berselera, muka masam, pucat, duduk dan berdiri pun jadi serba tak kena…harta yang kita julang, yang kita ratib itukah datang menjenguk, merawat dan menenangkan kita? Jawapannya tidak kan, tapi yang merawat sakit kita adalah orang yang berpengetahuan dalam bidang itu – doktor, jururawat, manakala yang datang menjenguk kita adalah ahli keluarga dan sanak-saudara kita malah kawan yang kita aniaya, yang kita tuduh dan buat cerita macam-macam, pecat atau buang daripada pekerjaan atau jawatannya, yang kita buat tak kenal itulah datang menjenguk dan memberikan kata-kata semangat, menenangkan jiwa duka kita, atau sekurang-kurang mendoakan kesejahteraan kita dari kejauhan.

    Iman dan amal

    Dalam al-Quran ada menegaskan, maksudnya: “Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikit pun, melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di syurga) dengan aman sentosa.” (Surah Saba, ayat 37)

    Bukan harta disebut dalam ayat itu tetapi iman dan amal soleh. Jadi, usah cepat berasa lega, berasa gah dengan harta benda jika berpaling dari akhirat.

    Dinyatakan juga sebagaimana maksudnya: “Harta kekayaanku tidak menolongku sedikit pun. Kuat kuasaku (hujahku membela diri) telah binasa dan hilang lenyap daripadaku.” (Surah al-Haqqah, ayat 28 dan 29)

    Harta bertimbun, tetapi jika tidak mengenal iman apa gunanya. Berpaling daripada petunjuk Allah hanya menempah kesukaran, kemurkaan dan kehinaan.

    “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Taha, ayat 124)

    Pada surah al-An’am, ayat 110 diterangkan: “Dan Kami palingkan hati mereka dan pandangan mereka sebagaimana mereka tidak (mahu) beriman kepadanya (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya dan Kami biarkan mereka meraba-raba dalam kesesatannya dengan bingung.”

    Nyata, tiada yang lain dapat menjamin kebahagiaan, melainkan keimanan dan amal soleh. Berusaha mencari kesempurnaan dalam menghadapi tuntutan hidup, tetapi jangan sampai lupa dan derhaka kepada Dia. Ada atau tiada harta, tanggungjawab beragama tetap dijunjung, dilaksana sebaik mungkin.

    Firman-Nya dalam surah ar-Ra’d, ayat 29 bermaksud: “Orang-orang beriman dan beramal soleh beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.”

    Dalam surah al-Baqarah, ayat 38 ditegaskan: “…maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

  • 10 tindakan capai taubat

    Sanggup berpindah ke tempat lain supaya dapat benar-benar bertaubat – Foto Unsplash

    Menurut Imam al-Ghazali dalam karyanya Minhajul Abidin, kita perlu menyempurnakan 10 tindakan ini agar taubat kita tercapai iaitu:

    1. Tidak lagi melakukan dosa berkenaan.

    2. Tidak menceritakannya lagi.

    3. Tidak lagi bergaul dengan orang yang melakukan dosa berkenaan.

    4. Sanggup jika terpaksa mengasingkan diri, yakni berpindah ke tempat lain kerana di sana dapat benar-benar bertaubat daripada perbuatan dosa. Perkara yang sekiranya dapat menarik diri untuk berbuat seperti itu ditinggalkan sama sekali.

    5. Tidak akan melihat atau menjejakkan kaki lagi ke tempat yang pernah melakukan dosa.

    6. Benar-benar membenci tempat yang pernah menjerumuskan diri ke jurang nista.

    7. Tidak mahu lagi mendengar perbincangan mereka mengenai perbuatan maksiat.

    8. Bertaubat daripada keinginan hati. Inilah yang paling sukar kerana bererti hati sudah tertutup (daripada perbuatan dosa) sama sekali.

    Jika ada dorongan untuk melakukannya, mampu untuk menahannya. Ini bermakna mendapat kemenangan dan inilah taubat yang paling sempurna.

    9. Bertaubat daripada kelalaian dahulu kerana taubat yang pertama dirasakan kurang memenuhi syarat. Jika dalam taubat pertama tidak sepenuhnya kerana Allah, kini kembali bertaubat (sepenuhnya kerana Allah).

    10. Taubat daripada kesombongan kerana dapat bertaubat. Hal ini kerana ada sesetengah orang berasa bangga dengan taubatnya dan mengagumi dirinya yang sudah bertaubat.

    Ibarat pelukis yang mengagumi lukisannya atau mengagungkan hasil karyanya, dia terlalu berbangga dengan taubatnya, lalu berkata di dalam hati: “Alangkah sempurnanya taubat aku tempoh hari!”

    Ini bermakna taubatnya tidak didasari kerana Allah. Oleh itu dia terpaksa bertaubat lagi dengan mengesakan Allah Taala.

  • Lima sikap tercela melekat bersama harta

    Foto hiasan – Getty Images

    Diceritakan daripada Sufyan ats-Tsauri RA: “Pada zaman ini, tiada harta pada seseorang melainkan disertai oleh lima perkara, panjang angan-angan, tamak yang menguasainya, bakhil yang bersangatan, menipisnya warak dan lupa akhirat.

    Menurut catatan, tokoh ulama besar ini adalah pakar dalam ilmu hadis dan bidang keilmuan yang lain. Beliau lahir di Kufah pada 97 Hijrah bersamaan 715 Masihi dan meninggal dunia di Basrah pada 161 Hijrah (778 Masihi).

    1. Panjang angan-angan

    Kita perlu mengelakkan diri daripada hanyut dibuai angan-angan tidak berfaedah, bahkan memperdayakan kita. Jika ada cita-cita atau keinginan dalam fikiran, pastikan ia patut dan betul serta cuba usaha agar terlaksana.

    Tuhan berfirman maksudnya: “Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).” (Surah al-Hijr, ayat 3)

    2. Tamak

    Tamak adalah sifat manusia yang ingin memborong dan mengumpulkan semuanya. Semua disukai, walaupun tanpa mengetahui kegunaannya. Sesuatu yang ada di tangan orang lain juga ingin dimiliki dan untuk itu orang tamak akan berusaha memperolehnya. Sifat ini menghilangkan rasa malu seseorang.

    Sayidina Utsman bin Affan RA dipetik sebagai berkata: “Sesiapa meninggalkan dunia, maka dia akan dicintai Allah. Sesiapa meninggalkan dosa, nescaya disukai malaikat dan sesiapa mencegah tamak terhadap orang Islam, maka dia dicintai Muslimin.”

    3. Bakhil

    Bakhil ialah menahan diri daripada memberi atau membelanjakan apa yang wajib dan wajar mengikut ketentuan hukum sama ada mengikut pertimbangan hukum syarak mahupun hukum adat dan maruah.

    Firman Tuhan dalam surah Ali-Imran, ayat 180 bermaksud: “Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka.

    “Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi…”

    4. Menipis warak

    Warak ialah menjauhi perkara syubhat (perkara belum jelas halal dan haramnya) kerana takut jatuh haram. Pendapat lain, warak ialah selalu melakukan amalan baik.

    Daripada an-Nukman bin Basyir RA, dia berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa perkara halal adalah jelas. Dan bahawa yang haram itu jelas. Dan antara kedua-duanya perkara syubhat (samar) yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan orang.

    “Maka, sesiapa menjaga dirinya daripada perkara syubhat, dia menyelamatkan agama dan harga dirinya. Namun, sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhat, dia terjatuh kepada keharaman.

    “Umpama pengembala yang mengembala di sekitar daerah terlarang yang hampir-hampir dia mengembala di dalamnya. Ketahuilah, setiap raja memiliki daerah terlarang. Ketahuilah bahawa larangan Allah adalah perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya.

    “Ketahuilah dan bahawa di dalam tubuh itu terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh tubuhnya. Dan apabila ia rosak, rosaklah pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, segumpal daging itu ialah hati.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    5. Lupa akhirat

    Ramai orang lupa akhirat. Mereka mengejar dunia kerana menyangka kesenangan dunia adalah segala-galanya. Padahal kehidupan dunia yang dibanggakan itu hanya sementara dan akhirat lebih baik lagi berkekalan.

    Ada orang, ketika muda, bertenaga dan berkuasa bukan main lagaknya, tetapi ketika sudah tua, bersara dan kurang bertenaga, baru nak belajar agama, baru kenal ustaz dan akhirat.

    Firman Tuhan dalam surah al-A’la, ayat 14 hingga 17 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh).

    “Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

  • Kehebatan ibadat puasa

    Foto Pngtree

    Ramadan mengajar manusia erti kehidupan. Melalui ibadat puasa selama sebulan, ia banyak membentuk diri kita menjadi lebih baik. Kita lebih mengerti dan menghayati hakikat kemanusiaan dan kehidupan dilalui.

    Mari kita selusuri secara ringkas dalam beberapa aspek yang nyata daripada pelaksanaan ibadat puasa Ramadan ini.

    Ketaatan

    Puasa kita sebulan Ramadan kerana ketaatan kepada Allah. Bukan kerana adat, bukan kerana tiada makanan ataupun sekadar mengikut orang di sekeliling. Maknanya, kita sanggup berlapar dan dahaga semata-mata kerana menyempurnakan suruhan-Nya. Justeru kita orang yang taat. Alhamdulillah.

    “Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Maksud ayat 183, surah al-Baqarah)

    Firman-Nya pada surah an-Nisa, ayat 59 bermaksud: “Wahai orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah…”

    Sekiranya kita dapat memahami konsep ketaatan ini, nescaya perjalanan hidup kita lebih terarah dan jelas. Justeru kita tidak bermasalah untuk berpuasa, mengerjakan solat, menjaga tingkah laku, menutup aurat dan melakukan suruhan-Nya yang lain.

    Kejujuran

    Puasa mengajar kita erti kejujuran. Walaupun berseorangan di tempat tersembunyi, di dalam bilik gelap, kita tetap berpuasa sampai waktu berbuka.

    Selagi belum tiba waktu berbuka, kita tetap berpuasa. Kita sedar bahawa Allah Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar.

    Firman-Nya bermaksud: “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-An’am, ayat 103)

    Aspek kejujuran melalui ibadat puasa ini sangat baik jika kita dapat menerapkan atau mengamalkannya juga pada ibadat lain, bahkan dalam hidup kita seharian, dalam hubungan sesama manusia terutama apabila melakukan sesuatu urusan.

    Disiplin

    Perkara ini menjadi syarat bagi orang yang ingin menempa kejayaan. Tiada disiplin, usah mengharapkan buah kejayaan. Dan puasa mengajar kita aspek ini, terutama dalam penjagaan waktu.

    Kita dilatih menepati waktu sama ada untuk memulakan puasa mahupun berbuka. Apabila masuk waktu, kita segera berbuka puasa. Kita tidak menangguhkannya sebab disiplinnya memang begitu. Begitu juga apabila habis waktu sahur dan masuk waktu Subuh, kita tidak lagi makan dan minum – kita mula berpuasa.

    Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mereka terus menyegerakan berbuka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Di siang hari, kita tidak berkata kotor, mencela, menipu, mengumpat dan menghasut. Kita menahan syahwat dan godaannya. Kita juga menjaga hati daripada sifat keji seperti dengki. Tapi, mengapa disiplin seperti ini tiada pada bulan selainnya? Begitulah sentuhan yang ada pada ibadat puasa – hebat dan ajaib.

  • Taubat pembuka pintu segala kebaikan

    Foto hiasan – Getty Images

    Hadis daripada Anas, dia berkata Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Setiap anak cucu Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang melakukan kesalahan adalah orang bertaubat.” (Sunan ad-Darimi)

    Manusia yakni kita (yang jarang kita lihat dan beri tanda aras) tidak terkecuali daripada salah dan silap, sama ada secara sembunyi ataupun terang-terang. Namun, sebaik-baik manusia ialah mereka yang bertaubat.

    Pembuka kebaikan

    Taubat pembuka kepada segala kebaikan. Ia sebab kepada keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan, bukan sahaja kepada dirinya bahkan setiap Mukmin.

    Allah berfirman dalam surah at-Tahrim, ayat 8 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”

    Bilakah waktunya?

    Dalam Tanbihul Ghafilin ada dijelaskan: “Seharusnya setiap manusia bertaubat pada setiap waktu, sehingga apabila tiba maut, dia sudah taubat.”

    Malahan diterangkan juga, setiap orang yang sempurna akal harus bertaubat pada setiap waktu supaya tidak tergolong pada orang yang merajalela (berbuat sekehendak hati) dalam derhaka.

    “Sebab seorang yang selalu bertaubat tidak dianggap bergelumang dalam berbuat dosa meskipun dia mengulang dosa itu sehari sampai tujuh puluh kali.”

    Hakikatnya waktu tidak pernah menunggu dan memang sifatnya begitu. Kita juga tidak diberikan pengetahuan, bilakah ‘detik waktu itu’ tiba. Justeru, mengapa tidak kita rebut peluang ketika masih ada?

    Abu Bakar al-Wasithi dipetik berkata: Sabar tidak gopoh-gapah (tidak cepat bertindak) dalam segala perbuatan itu baik melainkan dalam tiga perkara:

    1. Ketika tiba waktu solat, maka harus segera dilakukan.

    2. Ketika kematian, harus segera diselesaikan dan dikuburkan secepat mungkin.

    3. Ketika akan taubat dari dosa, maka jangan ditunda.

    Firman-Nya pada surah Ali-Imran, ayat 135 dan 136 bermaksud: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

    “Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”

    Jangan ulangi

    Sayidina Ali bin Abi Talib RA diberitahu oleh orang: “Saya telah berbuat dosa.”

    Ali berkata: “Taubatlah kepada Allah, kemudian jangan engkau ulangi.”

    Orang itu berkata: “Saya telah taubat tetapi saya ulangi lagi.”

    Ali berkata: “Taubatlah kepada Allah, kemudian jangan engkau ulangi lagi.”

    Orang itu bertanya: “Sampai bilakah?”

    Jawab Ali: “Sehingga syaitan yang kecewa dan menyesal.” (Dipetik daripada Tanbihul Ghafilin)

    Terus berharap

    Abu Laits dipetik sebagai berkata: “Seorang hamba apabila taubat, maka Allah menerima taubatnya dan mengampuninya, kerana itu seharusnya manusia tidak putus harapan daripada rahmat Allah.”

    Firman-Nya dalam surah Yusuf, ayat 87 bermaksud: “Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir.”

    Ayat 25, surah asy-Syura bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”

  • Empat musuh

    Foto hiasan – PikWizard

    Menurut Abu Laits dalam Tanbihul Ghafilin, manusia mempunyai empat musuh dan masing-masing memerlukan perjuangan.

    1. Dunia, ia merayu dan menipu.

    “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid, ayat 20, Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

    Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. (Surah Luqman, 33, Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

    2. Hawa nafsumu sebagai musuh yang amat kuat dan sangat bahaya.

    3. Syaitan yang tidak kelihatan.

    4. Syaitan manusia.

    Maka, berhati-hatilah daripada syaitan manusia, sebab ia lebih jahat daripada syaitan jin (yang tidak kelihatan), sebab syaitan hanya berbisik, sedangkan syaitan manusia dengan kata-kata, harta dan usaha paksaan, dan ia selalu berusaha bagaimana dapat memesongkan kamu daripada taat dan kebaikanmu.

  • Tujuh sebab doa tertolak

    Foto Unsplash

    Seorang ahli hikmah (orang bijaksana) ditanya: Mengapakah kami berdoa tetapi tidak juga diterima, padahal Allah telah berfirman (pada surah al-Mu’min, ayat 60, maksudnya); berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu?

    Jawabnya: Kerana kamu melakukan tujuh perkara yang menyebabkan tertolaknya doamu dari langit.

    Ditanya: Apakah sebab-sebab itu?

    Jawabnya:

    1. Kamu melakukan amalan yang menyebabkan murka Tuhan dan tidak bertaubat serta tidak menyesali perbuatan itu.

    2. Kamu berkata, “kami hamba Allah” tetapi tidak menjadi sebagai hamba yang patuh taat kepada majikannya.

    3. Kamu membaca al-Quran, tetapi tidak memperhatikan perintah-perintah dan larangan-larangan di dalamnya.

    4. Kamu mengaku, “kami umat Muhammad” tetapi tidak melakukan sunahnya, yakni masih tetap makan yang haram.

    5. Kamu mengakui bahawa dunia ini tidak berharga di sisi Allah walaupun sesayap nyamuk, tetapi berasa tenang tenteram kepadanya.

    6. Kamu berkata, bahawa dunia ini akan hilang, tetapi kamu berbuat seakan-akan kekal selamanya.

    7. Kamu mengakui bahawa akhirat itu lebih baik dari dunia, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam usaha amalan akhirat, bahkan masih mengutamakan dunia berbanding akhirat.

  • Keutamaan berselawat ke atas Nabi

    Kredit foto Getty Images

    1. Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

    2. Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, Allah membalas selawat ke atasnya 10 kali.” (Sunan Darimi)

    3. Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesiapa berselawat ke atasku satu kali, maka Allah berselawat (mengampuni) ke atasnya sepuluh.” (Riwayat Muslim)

    4. Daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumya): “Manusia yang paling utama denganku (paling dekat dan berhak mendapat syafaat) pada hari kiamat adalah yang paling banyak membaca selawat untukku.” (Riwayat Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

    5. Daripada Ali RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Orang bakhil ialah orang yang namaku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat untukku.” (Riwayat Tirmidzi, dan dia berkata hadis ini hasan sahih)

    6. Daripada Aus bin Aus, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sungguh antara hari kamu yang terbaik ialah hari Jumaat, maka banyak-banyaklah membaca selawat untukku pada hari itu, kerana selawat kamu diperlihatkan kepadaku.”

    Mereka (sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami diperlihatkan kepadamu, sementara jasadmu telah hancur luluh?”

    Baginda bersabda: “Sungguh, Allah mengharamkan bumi memakan jasad nabi-nabi.” (Riwayat Abu Daud)

    7. Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berjalan di muka bumi, menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.” (Sunan Darimi)

  • Tiga harus dirisaukan

    Foto hiasan – Unsplash

    Seorang ahli hikmah (orang bijaksana) dipetik sebagai berkata: Sesiapa risau bukan kerana tiga perkara, maka dia tidak dapat mengenal (membezakan) risau dan tenang:

    1. Risau mengenai iman, apakah ia akan dibawa terus hingga mati atau tidak.

    2. Risau terhadap perintah Allah, apakah dia dapat melaksanakan dengan sebaik-baiknya ataupun tidak.

    3. Risau memikirkan orang yang akan menuntut padanya kelak, apakah dia termasuk golongan selamat ataupun tidak.

    Risau mengenai iman apakah akan dibawa hingga mati

    Dalam Minhajul Abidin ada menerangkan, orang soleh sangat takut akan suul khatimah (buruk pengakhiran). Ia terbahagi kepada dua peringkat, dengan kedua-duanya sangat bahaya.

    Hati dan perasaan seseorang ketika sakratul maut segera merenggutnya. Maka, hatinya menjadi ragu-ragu dan tidak lagi mempercayai Allah hingga dia mati dalam keadaan tidak beriman. Na’uzu billah (semoga kita dijauhkan oleh Allah).

    Seseorang yang dikawal oleh perasaan cintanya terhadap urusan duniawi yang tiada hubungan dengan urusan akhirat, contohnya seseorang sedang mendirikan rumah, tiba-tiba sakratul maut datang menjemputnya, dalam keadaan seperti itu, dia tidak mengingati apa-apa melainkan hanya memikirkan pembinaan rumahnya yang belum selesai. Maka, jika dia mati dalam keadaan demikian, bererti dia mati dalam keadaan jauh daripada Allah. Hatinya hanyut bersama cintanya terhadap harta dan dunia, bahkan berpaling daripada Allah.

    Antara dua peringkat suul khatimah itu, peringkat pertama adalah paling besar bahayanya.

    Risau terhadap perintah Allah

    Suruhan Allah mesti dilakukan dengan kesungguhan dan kesempurnaan mengikut aturannya, bermula dari dalam diri sehingga kepada praktik anggota badan.

    Firman Allah bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

    Menurut keterangan dalam Minhajul Abidin, seseorang itu harus berusaha menjaga kemurniaan dalam menjalankan ibadat atau menghindarkan sebarang perkara yang boleh membawa kerosakan pada ibadatnya.

    Dia mestilah ikhlas iaitu tulus menjalankan ibadat semata-mata kerana Allah.

    Risau memikirkan orang yang akan menuntut padanya kelak

    Abdullah bin Amr menceritakan, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Jauhilah kezaliman, sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat.” (Sunan Darimi)

    Abu Laits berkata: Tidak ada dosa yang lebih besar daripada berbuat zalim, sebab dosa itu bila engkau langsung dengan Allah, maka Allah sangat pemurah untuk memaafkan kamu, tetapi jika dosa itu antaramu dengan sesama manusia, maka tidak ada jalan melainkan minta maaf kepada orang yang teraniaya. Apabila tidak dapat, kerana orang telah mati, maka bacakan istighfar untuknya semoga dengan itu akan dihalalkan kelak di hari akhirat. (Tanbihul Ghafilin)

    Ibnu Mas’ud dilaporkan berkata: “Sesiapa membantu orang zalim untuk menganiaya atau mengajarkan cara pembelaannya untuk mengalahkan hak (kebenaran) seorang Muslim, maka dia mendapat murka Allah dan menanggung dosanya.”

    Sayidina Umar bin al-Khattab bertanya kepada Ahnaf bin Qays: Siapakah orang yang paling bodoh?

    Jawab Ahnaf: Orang yang menjual akhirat dengan dunianya (orang mengorbankan akhirat untuk mendapatkan habuan dunia).

    Umar berkata: Sukakah saya beritahu kepadamu orang yang lebih bodoh daripada itu?

    Jawabnya: Baiklah wahai Amirul Mukminin.

    Umar berkata: Iaitu orang yang menjual akhiratnya untuk keuntungan orang lain.

  • Enam cara hadapi fitnah

    Fitnah menjadikan hidup hambar – Foto hiasan Unsplash

    Abu Laits as-Samarqandi dalam karyanya Tanbihul Ghafilin dipetik sebagai berkata: Jika orang memberitahu kepadamu bahawa seseorang memburukkan kamu, harus menghadapinya dengan enam macam:

    1. Jangan percaya, kerana orang memfitnah itu tidak diterima persaksiannya.

    Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

    2. Kamu harus mencegahnya daripada fitnah itu, sebab nahi munkar (mencegah kemungkaran) itu wajib.

    3. Kamu harus membenci (tidak suka) kepadanya, sebab telah berbuat maksiat.

    4. Kamu jangan bersangka buruk terhadap saudara kamu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim adalah haram.

    5. Jangan kamu selidik keadaan (mencari-cari salah) orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang mencari-cari kesalahan orang.

    6. Apa yang kamu tidak suka daripada perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan sampai berbuat seperti itu, iaitu kamu jangan memberitahu kepada sesiapa pun apa yang dikatakan oleh orang membuat fitnah itu.

  • Bekal untuk pergi

    Foto Freepik

    Abu Dzar al-Ghifari RA diceritakan dalam Tanbihul Ghafilin, berdiri di muka Kaabah, lalu berkata:

    “Ingatlah, yang sudah mengenali aku maka cukuplah dan sesiapa yang belum kenal, maka aku Jundub bin Junadah al-Ghifari. Silakan kamu mendekat kepada kawan yang akan menyampaikan nasihat dan sayang kepadamu.”

    Maka mendekat orang-orang kepadanya dan berkumpul di sekelilingnya.

    Dia berkata: “Wahai semua manusia, siapa yang akan pergi di dunia ini, maka dia tidak pergi melainkan dengan bekal. Maka, bagaimana seorang yang akan pergi ke akhirat tanpa bekal?”

    Mereka bertanya: “Apakah bekal kami wahai Abu Dzar?”

    Jawabnya: “Solat dua rakaat di tengah malam untuk menghadapi gelapnya kubur, puasa di musim panas untuk menghadapi hari bangkit dari kubur, sedekah kepada orang miskin supaya selamat daripada seksa di saat sukar, haji untuk menghadapi bahaya-bahaya yang besar. Jadikanlah dunia ini dua tempat, tempat untuk mencari dunia dan tempat untuk akhirat dan yang ketiga berbahaya dan tidak berguna. Jadikan perkataan itu hanya dua kalimat. Satu kalimat yang berguna dalam urusan dunia atau kalimat yang kekal di akhirat dan yang ketiga berbahaya dan tidak berguna. Jadikan harta dua manfaat. Yang satu belanjakan untuk anak keluarga dan yang satu lagi untuk tabungan akhirat dan yang ketiga berbahaya dan tidak berguna.”

    Kemudian Abu Dzar mengeluh: “Ah aku telah terbunuh oleh kerisauan terhadap satu hari yang dapat aku kejar.”

    Maka, ditanya: “Apakah yang kamu maksudkan?”

    Jawabnya: “Harapan dan angan-anganku melebihi dari batas ajalku sehingga tidak dapat beramal (beribadat).

  • Orang khusyuk dalam solat, orang berjaya

    Foto hiasan Unsplash

    Surah al-Mukminun, ayat 1 dan 2 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

    Menurut keterangan diberikan dalam tafsir itu (bagi ayat 2), solat yang sempurna ialah solat yang dilakukan dengan khusyuk yakni dengan sepenuh-penuh hormat dan ingatan meliputi anggota-anggota badan dan hati.

    Khusyuk adalah aspek sangat penting dalam mengerjakan solat. Berkaitan hal ini, ada beberapa keterangan dalam Tanbihul Ghafilin:

    1. Al-Kaham bin Uyainah berkata: Sesiapa di dalam solatnya memperhatikan orang di kanan kirinya, maka tidak dianggap solatnya.

    2. Yaakub Alqari’ ketika solat tiba-tiba datang orang mengambil serbannya dan dibawa kepada kawan-kawannya. Maka, kawan-kawan itu mengetahui bahawa ia adalah serban Yaakub.

    Justeru, mereka menasihatkan orang yang mengambil itu supaya mengembalikannya, sebab khuatir terkena doanya.

    Maka, segera dikembalikan, sedang Yaakub belum selesai solat. Lalu, diminta maaf dan diberitahu kepadanya setelah selesai solat.

    Yaakub berkata: Aku tidak berasa siapa yang mengambil dan siapa yang mengembalikannya.

    3. Rabiah Adawiyah pernah solat ketika sujud mendadak matanya tercucuk duri, tetapi tidak berasa melainkan selepas selesai solat.

    4. Sayidina Hasan bin Ali jika akan berwuduk berubah pucat dan ketika ditanya hal itu, jawabnya: Saya akan berdiri di depan raja yang maha kuasa. Dan apabila dia akan masuk masjid, mengangkat kepalanya sambil berdoa:

    “Wahai Tuhanku! Hamba-Mu di pintu-Mu. Telah datang kepada-Mu orang yang derhaka. Engkau menyuruh orang yang baik daripada kami supaya memaafkan orang yang salah, sedang Engkau yang baik pemurah dan aku yang bersalah, maka maafkan keburukanku dengan kebaikan-Mu, wahai Yang Maha Mulia.”

    Kemudian dia masuk ke masjid.

    5. Sayidina Ali bin Abi Talib jika tiba waktu solat, gementar persendiannya dan berubah mukanya. Ketika ditanya mengenai hal itu, jawabnya: Tiba waktunya amanat yang ditawarkan oleh Allah kepada langit, bumi dan bukit dan semuanya menolak kerana khuatir daripadanya tetapi ditanggung oleh manusia dan aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat menunaikan sebaik-baiknya atau tidak.

You cannot copy content of this page