PUTRAJAYA — “Saya sedih duit hasil titik peluh mengusahakan perniagaan kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu lebur dalam sekelip mata selepas ditipu oleh syarikat pengendali umrah,” kata Sahira Syarafana Shahidan, 26, dari Baling, Kedah.
Sahira yang mengusahakan perniagaan ayam goreng di Baling antara 26 mangsa termasuk mutawif yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu selepas syarikat yang menguruskan pakej umrah gagal menerbangkan mereka ke Makkah.
Menurut Sahira, dia tertarik dengan pakej murah ditawarkan RM4,500 selepas diperkenalkan seorang rakan dan bersetuju mengambil pakej lima orang berjumlah RM20,900 dengan membawa suami, bapa mentua serta dua anak kecil.
Dia membuat bayaran secara ansuran sejak awal tahun dan bakinya diselesaikan sebelum tarikh bertolak, namun impian dan kegembiraan untuk menjejakkan kaki buat kali pertama di Tanah Suci berkecai selepas ditipu.
“Selepas kejadian itu saya berdepan pelbagai perasaan termasuk marah dan sedih kerana selepas ini terpaksa memulakan hidup baharu untuk mengumpul duit semula lebih-lebih lagi situasi perniagaan ketika ini tidak menentu dan bilangan pelanggan juga mengikut musim,” katanya ketika dihubungi.
Khamis lalu, seramai 26 peserta umrah terkandas di KLIA selepas syarikat pengendali gagal menyediakan tiket penerbangan, penginapan dan visa umrah.
Menurut jemaah, syarikat umrah itu dikendalikan oleh seorang wanita.
Katanya, beberapa peserta sudah membuat laporan polis di KLIA, selain di balai polis kawasan masing-masing selepas pulang.
Sahira berkata, dia juga sudah membuat laporan di Baling dan berharap individu terbabit dikenakan tindakan serta wang jemaah dikembalikan.
Pekerja swasta hanya mahu dikenali sebagai Julia, 22, dari Bentong, Pahang pula berkata beliau terkilan kerana wang dikumpul sejak dua tahun lalu untuk membawa ibu bapanya menunaikan umrah tidak kesampaian.
Katanya, mereka baharu sedar ditipu ketika berada di KLIA kerana wanita berkenaan gagal menyediakan tiket penerbangan dan visa pelancong manakala salinan diberi juga tidak sah dan sudah diubah suai.
“Saya trauma selepas melalui situasi itu. Modus operandi yang digunakan wanita itu sangat licik dengan menyediakan kursus umrah dan menyediakan penginapan di hotel secara percuma sehari sebelum tarikh bertolak.
“Saya sudah membuat laporan di balai polis Bentong dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap individu terbabit. Saya reda apa yang berlaku dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu,” katanya.
BH ONLINE