KOTA KINABALU — Seorang pejalan kaki maut dirempuh kereta ketika melintas Jalan Coastal berhampiran Sutera Avenue, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an cedera parah selepas terpelanting ke bumbung kereta dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata siasatan awal mendapati Perodua Axia dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an datang dari arah Centre Point menuju ke Tanjung Aru.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika pemandu berada di lorong kanan dengan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dan menyebabkan kemalangan.
“Akibat daripada kemalangan, pejalan kaki parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, siasatan mendapati pejalan kaki cuai menyebabkan kemalangan berlaku.
“Tidak jauh dari lokasi kejadian terdapat jejantas untuk pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa,” katanya.
BH ONLINE