Rogol bawah umur meningkat saban tahun, pelaku termasuk usia seawal 10 tahun – Shuhaily

KUALA LUMPUR — Sejumlah 6,462 kes penderaan seksual membabitkan kanak-kanak sebagai mangsa direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 2020 dan 2024, dengan trend peningkatan kes sepanjang tempoh lima tahun itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata peningkatan itu disebabkan beberapa faktor termasuk kurangnya pengawasan terhadap kanak-kanak.

“Rogol bawah umur semakin meningkat setiap tahun dan statistik menunjukkan kes penderaan seksual melibatkan kanak-kanak (juga meningkat) dari tahun ke tahun.

“Pada 2020 sebanyak 1,028 kes (direkodkan), diikuti 2021 dengan 1,032 kes, 2022 (1,193 kes), 2023 (1,480) dan tahun in, yang belum berakhir lagi terdapat 1,729 kes.

“Secara keseluruhan jumlah kes penderaan seksual dalam tempoh lima tahun adalah 6,462 kes dan ini hanya kes yang dilaporkan… mungkin jumlah kes yang tidak dilaporkan lebih tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu pada Podcast Edisi Khas terbitan Buletin TV3 yang disiarkan hari ini.

Tambah Shuhaily, berdasarkan data kebanyakan kes penderaan seksual termasuk membabitkan kanak-kanak berlaku dalam kalangan masyarakat B40, di mana dua atau tiga kes berlaku kerana kurangnya pengawasan.

“Bukan kerana ibu bapa mengabaikan mereka, tetapi kadang-kadang kedua-dua ibu bapa bekerja dan hanya seorang penjaga ada di rumah pada satu-satu masa. Maka timbul keletihan, yang membawa kepada kekurangan pengawasan.

“Ada juga beberapa kes di mana mangsa berkawan dengan pelaku melalui media sosial dan rogol berlaku pada kali pertama mereka bertemu. Itu yang saya perhatikan,” katanya.

Shuhaily berkata, sementara penjenayah dihadapkan ke muka pengadilan, mangsa dalam kes penderaan seksual ini mendapatkan bantuan melalui agensi berkaitan.

Beliau bagaimanapun berkata banyak lagi boleh dilakukan untuk menambah baik sistem itu termasuk mungkin menempatkan mangsa di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun dalam beberapa kes, permohonan ini (ke JKM) tidak diterima. Ada kes di mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun diserahkan semula kepada keluarga, kerana penilaian dibuat (JKM) mendapati keluarga itu mampu menjaga anak.

“Setahun kemudian, kanak-kanak sama kembali ke balai polis dengan kes rogol kedua. Jadi sistem kami sudah sedia ada, tetapi kadangkala sistem itu menggagalkan tujuannya,” tambahnya.

Menurut Shuhaily lagi, terdapat juga kes penderaan seksual dilakukan kanak-kanak seawal usia lima tahun.

Berdasarkan Kanun Keseksaan, katanya kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah yang mereka lakukan.

“Kanak-kanak ini tidak dianggap melakukan jenayah, jadi tiada tindakan undang-undang boleh diambil, dan akibatnya kami (polis) tidak mempunyai rekod mengenai mereka,” katanya.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page