GERIK — Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Arina Azizan yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai di sini, kelmarin, berhasil menemui jasad wanita berusia 20 tahun itu di Sungai Rui, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mayat Nur Arina ditemui anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kerunai sekitar jam 4 petang, kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi mangsa mula dihanyutkan.
Katanya, mayat mangsa dijumpai tersangkut pada dahan pokok dalam air berhampiran tebing sungai sebelum dibawa ke jeti terdekat di Kampung Dusun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, termasuk akan dihantar ke Hospital Gerik.
Beliau berkata, terdahulu operasi SAR hari ini dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula dari Sungai Air Beruk hingga ke Dataran Loma di Sungai Rui, dengan turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dan agensi bantuan lain bersama bot masing-masing.
“Pasukan dipecahkan untuk membuat pencarian di semua sektor, manakala dua bot ditugaskan membuat pencarian di sekitar Sungai Perak.
“Selain itu, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga membuat selaman di sekitar kawasan yang disyaki mangsa berada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Secara keseluruhan, beliau berkata, operasi SAR Nur Arina hari ini membabitkan kekuatan 58 anggota pelbagai agensi, termasuk 25 anggota JBPM, di samping bantuan penduduk setempat, bersama kekuatan logistik membabitkan penggunaan 15 bot dan tujuh kayak.
Semalam, Sabarodzi dipetik berkata, pihaknya percaya Nur Arina sudah dihanyutkan arus melepasi bahagian muara Sungai Air Beruk sehingga memasuki Sungai Rui.
Insiden kira-kira jam 2.30 petang kelmarin berlaku ketika Nur Arina bersama empat ahli keluarga bermandi-manda dan melakukan aktiviti dalam air menggunakan pelampung.
Ibu mangsa, Saripah Ahmad, 48, yang cuba membantu anaknya itu turut dihanyutkan arus, namun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
BH ONLINE