Kategori: ADDIN

  • Dusta bawa anda ke neraka

    Dusta boleh berlaku dalam pelbagai medium termasuk platform media – Foto hiasan Getty Images

    Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya benar (jujur) menuntun kepada kebaikan dan kebaikan menuntun ke syurga. Sesungguhnya seorang selalu berkata benar sehingga dicatat di sisi Allah orang yang benar (siddiq). Sesungguhnya dusta menuntun kepada keburukan dan keburukan menuntun ke neraka. Sesungguhnya seseorang selalu berkata dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Daripada Abdullah bin Amr bin As, Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Empat sifat, sesiapa ada pada dirinya, dia munafik sejati dan sesiapa yang pada dirinya terdapat salah satu antaranya, maka pada dirinya ada sifat nifak (sifat orang munafik), sehingga dia meninggalkannya, iaitu apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila bertengkar dia menuduh yang bukan-bukan.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huzaifah bin al-Yaman RA dilaporkan berkata: Dahulu di masa Rasulullah SAW ada ketika seseorang yang mengucapkan sepatah kata boleh menjadi munafik dan kini saya mendengar perkataan itu keluar daripada kamu sepuluh kali dalam sehari.

    Abu Laits as-Samarqandi meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Sebenar-benar keterangan ialah kitab Allah, semulia-mulia perkatan ialah zikrullah (zikir kepada Allah), sebusuk-busuk buta ialah buta hati, yang sederhana mencukupi lebih baik daripada yang banyak dan melupakan, seburuk-buruk penyesalan ialah menyesal (pada) hari kiamat, sebaik-baik kekayaan ialah kaya hati dan sebaik-baik bekal ialah takwa. Khamr (arak) menghimpun segala dosa dan wanita perangkap syaitan. Muda itu sebahagian daripada gila dan sebusuk-busuk penghasilan ialah riba. Sebesar-besar dosa ialah lidah pendusta.

    Sebesar-besar dosa ialah lidah pendusta.

    Seharusnya seorang Muslim menjaga diri daripada tanda munafik, sebab seorang jika biasa berdusta pasti dianggap pendusta dan munafik. Dia dibebani dosa orang yang mengikut sikapnya.

    Firman Allah bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf, ayat 18)

  • Lima sifat orang munafik

    Senibina Islamik – Foto Unsplash

    Berikut adalah beberapa sifat orang munafik:

    1. Berdusta kepada Allah.

    “Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap (agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman, sedangkan mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka…” (Surah an-Nisa’, maksud ayat 142)

    2. Membenci Nabi Muhammad SAW.

    “Tidaklah seseorang mencintaiku kecuali dia seorang Mukmin dan tidaklah seseorang membenciku kecuali dia seorang munafik.” (Riwayat Muslim)

    3. Tidak percaya janji Allah dan Rasul-Nya.

    “Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.” (Surah al-Ahzab, maksud ayat 12)

    4. Malas mengerjakan solat dan jika dilakukan bukan kerana Allah tetapi kerana riyak.

    Ayat 142, surah an-Nisa’ bermaksud: “…mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riyak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” (Surah an-Nisa’, maksud ayat 142)

    5. Menjadikan sumpah sebagai perisai dan menghalang manusia melaksanakan perintah Allah.

    “Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-Munafiqun, maksud ayat 2)

  • Langit bersuara

    Foto Unsplash

    Daripada Abu Dzar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya saya dapat melihat apa yang kamu tidak dapat lihat dan saya dapat mendengar apa yang kamu tidak dapat dengar.

    Langit bersuara dan memang patut jika ia bersuara, sebab tiada tempat yang luang selebar empat jari di langit, melainkan ada malaikat yang meletakkan dahinya lalu bersujud kepada Allah Taala.

    Demi Allah! Seandainya kamu dapat melihat apa yang dapat saya lihat, pastilah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis dan kamu tidak akan bersuka ria dengan perempuan di tempat tidur, bahkan pastiah kamu akan keluar ke jalan-jalan untuk memohon pertolongan kepada Allah Taala.” (Riwayat Tirmidzi)

  • Orang ingat dan tidak ingat Tuhan umpama orang hidup dan orang mati

    Foto hiasan – Unsplash

    Zikir adalah istilah daripada perkataan Arab – zikr – bermaksud mengingati Allah.

    “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.” (Surah al-Baqarah, maksud ayat 152)

    “Wahai orang beriman, ingatlah kepada Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya.” (Al-Ahzab, maksud ayat 41)

    “…dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab, maksud ayat 35)

    “Dan sebutlah akan Tuhanmu di dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi orang yang lalai.” (Al-A’raf, maksud ayat 205)

    Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang ingat akan Rabbnya (Tuhannya) dengan orang yang tidak ingat Rabbnya (Tuhannya) laksana orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Jangan percaya nafsumu meski sudah lama taat padamu – Imam al-Junaid

    Foto Vecteezy

    Imam al-Junaid dipetik sebagai berkata: “Jangan mempercayai hawa nafsumu meskipun sudah lama taat kepadamu, untuk berbuat ibadat kepada Tuhanmu.”

    Malik bin Dinar adalah seorang tokoh tabiin terkenal sebagai ahli ibadat yang teguh hatinya. Dalam beberapa cerita, nyata perwatakannya yang beribadat dengan sebulat hati, malah sabar menahan nafsu dan pemaaf.

    Diceritakan ketika beliau menderita sakit hingga menyebabkan kematiannya, beliau ingin semangkuk madu bercampur susu dan roti panas.

    Seorang pelayan menghantarkan apa yang diingininya. Apabila makanan tersedia di depannya, beliau mengambil dan melihatnya sebentar.

    Lantas beliau berkata: “Wahai nafsu! Anda bersabar (untuk tidak memakannya) selama 30 tahun. Kini, umurmu tinggal sebentar saja, mengapa anda tidak mahu bersabar?”

    Beliau melepaskan tangannya dan berpaling daripada makanan yang ada di mangkuk itu. Beliau bersabar dalam menahan keinginannya dan tidak memakannya.

    Selepas melepaskan dan berpaling daripada makanan itu, beliau menghembuskan nafasnya.

  • Tahan marah, pilih bidadari

    Tahan marah – Foto Unsplash

    Daripada Muadz bin Anas meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Sesiapa menahan marah padahal dia mampu melepaskannya maka Allah SWT memanggilnya di hadapan kepala-kepala kalangan makhluk pada hari kiamat sehingga Allah menyuruhnya memilih bidadari-bidadari yang bermata indah yang dia kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi – Tirmidzi mengatakan ia hadis hasan)


    Diceritakan bahawa Sayidina Hussain bin Ali mempunyai seorang suruhan yang bekerja melayani beliau menyiapkan air bersuci.

    Pada suatu hari pekerja suruhannya itu menyiapkan air bersuci beliau di dalam sebuah bekas.

    Ketika Hussain selesai bersuci pekerja suruhannya mengangkat bekas berkenaan di hadapan beliau.

    Tiba-tiba mulut bekas itu terkena gigi seri Hussain sampai pecah.

    Lalu beliau memandang kepada pekerja suruhannya. Dan pekerja suruhannya berkata (ayat 134, surah Ali-Imran bermaksud): “Dan orang-orang yang menahan amarahnya.”

    Hussain berkata: “Sungguh. Aku menahan emosiku.”

    Lantas pekerja suruhan itu melanjutkan (sambungan ayat berkenaan bermaksud): “Dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) orang lain.”

    Hussain berkata: “Sungguh. Aku memaafkan kamu.”

    Kemudian pekerja suruhan itu melanjutkan (sambungan ayat berkenaan bermaksud): “Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”

    Hussain berkata: “Pergilah! Engkau sudah merdeka kerana Allah.”

    Hadis dan cerita itu dipetik daripada kitab Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Dilindungi: Lima kelebihan akhlak mulia

    Kandungan ini dilindungi kata laluan. Untuk melihatnya sila masukkan kata laluan di bawah.

  • Berpeluh di musim dingin kerana teringat dosa

    Malik bin Dinar bertemu dengan Atabah al-Gulam di musim dingin, sedang Atabah hanya memakai kemeja yang lusuh.

    Dia (Atabah) berdiri dan berfikir, sedang peluh bercucuran.

    Maka ditanya oleh Malik: Apakah yang menyebabkan engkau berdiri di sini?

    Jawabnya: Hai guruku, ini tempat yang saya pernah berbuat dosa di sini.

    Yakni dia sedang berfikir dan berasa takut kepada Allah bahawa dia sudah berbuat dosa di tempat itu sehingga dia berpeluh di musim dingin itu.

    Begitulah orang yang mempunyai mata hati, ada rasa gementar atas setiap keterlanjuran, malah ada sensitiviti – yakni terpandang saja sesuatu bersangkutan dengannya seperti tempat, maka terus diterpa rasa takut, gementar dan sayu.

  • 12 tanda menjelang kiamat

    Foto hiasan – Unsplash

    Menurut riwayat Ahmad daripada Muaz bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda: Ada 6 peristiwa yang termasuk petanda kiamat; kematianku, ditakluk Baitul Maqdis, kematian yang menyergap masyarakat bagaikan buduk kambing, huru-hara dengan bencana yang memasuki rumah setiap Muslim, lelaki diberi upah seribu dinar namun tidak rela menerimanya, dan pengkhianatan bangsa Rom. Mereka menyerbu dengan membawa lapan puluh bendera, di bawah setiap bendera ada dua belas ribu orang (tentera).

    Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim diriwayatkan daripada Anas, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara syarat-syarat terjadi kiamat ialah diangkat ilmu, banyak kebodohan, berleluasa perzinaan, banyak minum arak, sedikit lelaki dan ramai wanita, sehingga lima puluh wanita menjadi tanggungan seorang lelaki.

    Rujukan/sumber — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 62 & 154

  • 3 amalan lebih dicintai Allah

    Foto Unsplash

    Daripada Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata: Saya pernah bertanya kepada Nabi SAW: Yang manakah amalan yang lebih disukai (atau lebih dicintai) di sisi Allah Taala?

    Baginda bersabda: Solat pada waktunya.

    Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi?

    Baginda bersabda: Berbuat baik terhadap ibu bapa.

    Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi?

    Baginda bersabda: Jihad pada jalan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjadi bukti bahawa solat pada waktunya adalah suatu keutamaan, seterusnya berbakti kepada orang tua (ibu bapa) dan jihad pada jalan Allah.

    Rujukan/sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 252

  • Menjelang kiamat: Apabila amanah disia-siakan, urusan diserahkan kepada bukan ahlinya

    Dalam sahih Bukhari ada riwayat daripada Abu Hurairah (ertinya): Bahawa seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW, bilakah terjadi kiamat?

    Maka, kata Rasulullah: Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Kata Badwi itu, wahai Rasulullah, bagaimana atau dia berkata, apakah disia-siakan amanah itu?

    Rasulullah menjawab: Apabila urusan telah diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Rujukan/sumber — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 157

  • Menjelang kiamat: Tahun-tahun penuh penipuan

    Foto hiasan – Unsplash

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah bersabda (mafhumnya): Menjelang terjadi kiamat akan ada tahun-tahun yang penuh penipuan, orang jujur didustai, pendusta dibenarkan, orang dipercayai dianggap khianat, pengkhianat dipercayai dan orang kecil lagi hina pandai berbicara.

    Rujukan/sumber — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 159

  • Tanda kiamat semakin dekat: Waktu cepat berlalu

    Foto hiasan – Unsplash

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Maka, adalah setahun seperti sebulan. Dan adalah sebulan seperti (setiap kali) Jumaat, seperti seharian, dan adalah seharian seperti sejam. Dan sejam seperti lamanya membakar daun kurma.

    Rujukan/sumber — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 158

  • Buat baik kepada setiap makhluk ada pahalanya

    Padang pasir – Foto hiasan Unsplash

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah bersabda (mafhumnya): “Suatu ketika ada seorang lelaki berjalan di suatu jalan. Dia berasa sangat haus. Kemudian dia menemui sebuah sumur (telaga). Dia turun ke dalam sumur itu dan minum. Selepas itu, dia keluar.

    Tiba-tiba ada seekor anjing sedang menjulurkan lidahnya sambil menelan tanah kerana sangat haus.

    Orang itu berkata; ‘pasti anjing ini berasa haus seperti yang aku rasai tadi’.

    Dia turun lagi ke dalam sumur, lalu memenuhkan sepatunya (kasutnya) dengan air, kemudian membawa sepatunya dengan mulutnya sehingga dia menaiki sumur tadi, lalu dia memberi minum kepada anjing itu.

    Allah berterima kasih pada orang terbabit dan memberikan ampunan padanya.

    Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah kita juga memperoleh pahala dengan sebab memberi minum pada haiwan?

    Baginda menjawab: “(Berbuat baik) kepada setiap makhluk yang bernyawa ada pahalanya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

  • Mulia manusia kerana ilmu dan amalan soleh

    Foto hiasan – Getty Images

    Ada yang mengatakan: “Tiada pengasingan bagi orang mulia (berilmu) dan tiada tanah air bagi orang jahil.”

    Orang mulia di sini ialah orang berilmu serta beramal soleh, selalu dimuliakan dan dihormati orang lain di mana sahaja berada, sebab selalu diperlukan kehadirannya dan menjadi rujukan.

    Sebaliknya orang jahil akan berasa asing dan terpulau dalam masyarakat walaupun mereka berada di tempat kelahirannya sendiri. Mereka hidup dalam dunia tersendiri yang kadangkala (pada anggapan) hanya difahami mereka sendiri.

    Justeru kemuliaan manusia terletak pada ilmu dan amalan soleh. Hal ini diperkuatkan dengan dengan firman-Nya yang memberikan jaminan darjat mulia bagi orang beriman dan berilmu.

    “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

  • Tiga tidak dicapai dengan tiga

    Foto Unsplash

    Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA dilaporkan berkata: “Tiga perkara tidak dapat dicapai dengan tiga cara:

    1. Kekayaan tidak dapat diperolehi dengan hanya berangan-angan.

    2. Usia muda tidak dapat diperolehi dengan mewarna rambut.

    3. Sihat tidak dapat dicapai dengan ubat-ubatan.”

    Apa yang dikatakan itu mengandungi makna tasawuf yang tinggi dan hakikat sebenar. Kekayaan dan rezeki semuanya datang daripada-Nya dan manusia akan mendapatkan bahagian masing-masing. Namun seseorang itu mestilah berusaha seperti bekerja dan berniaga untuk mendapatkannya.

    “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

    Tafsir Pimpinan ar-Rahman menjelaskan: “Yakni bahawa sekalian makhluk adalah dijamin rezekinya oleh Allah Taala. Dalam pada itu kita disuruh berusaha dan berikhtiar, kerana langit tidak menghujankan emas dan perak.”

    Firman-Nya dalam surah al-Jumu’ah, ayat 10 bermaksud: “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

    Usia muda pula tidak akan datang semula walaupun dengan mewarna rambut. Adalah mustahil usia seseorang akan kembali muda (atau berpatah balik untuk menjadi muda). Setelah tahu dan sedar hakikat itu, seseorang mestilah memanfaatkan usianya dengan sebaik-baiknya.

    Orang sakit tidak akan menjadi sihat atau sembuh selagi mana tidak diizinkan Allah, walaupun menggunakan berbagai-bagai ragam ubat. Manusia boleh (bahkan dikehendaki) berusaha atau melakukan ikhtiar, namun kesembuhan adalah daripada Allah.

    Satu hadis daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Jibril pernah datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Wahai Muhammad, apakah engkau sakit?” Baginda SAW menjawab: “Ya.” Jibril lalu mengucapkan (ertinya): “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala yang menyakiti dirimu, juga dari kejahatan semua jiwa atau mata yang mendengki, semoga Allah akan menyembuhkan penyakitmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.” (Riwayat Muslim)

  • Mintalah daripada sesiapa yang anda mahu dan anda akan dikuasai

    Foto hiasan – Dreamstime

    Sayidina Ali bin Abi Talib RA dilaporkan berkata: “Berikanlah jasa (khidmat) kepada sesiapa yang anda mahu, maka anda akan dapat menguasainya. Mintalah daripada sesiapa yang anda mahu, maka anda akan dikuasainya. Cukuplah diri anda sendiri daripada sesiapa sahaja, maka anda akan seimbang dengannya.”

    Apabila anda berbuat baik kepada seseorang, maka anda akan menguasai orang terbabit. Sebaliknya, jika anda meminta sesuatu daripada orang lain, sama ada harta mahupun jasa, maka anda akan dikuasainya. Sebab jiwa seseorang itu mempunyai pembawaan untuk selalu menyukai kepada orang berbuat baik kepadanya.

    Sayidina Ali RA juga dipetik sebagai berkata: “Saya adalah hamba kepada seseorang yang mengajar kepada saya (walaupun) satu huruf, terpulanglah pada dia sama ada akan menjualku atau memerdekakan diriku.”

    Kesanggupan untuk membataskan kecukupan diri dengan apa yang dimilikinya dan tidak memerlukan lagi pada milik orang lain adalah kekayaan dan kemerdekaan sejati. Jika anda tidak lagi memerlukan apa dimiliki orang lain, bererti anda sebanding atau sama taraf dengannya.

    Hal ini sesuai dengan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sungguh beruntung orang yang masuk Islam, diberi rezeki yang cukup serta qanaah (berasa cukup) terhadap apa yang diberikan Allah.” (Riwayat Muslim)

    Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika berada di atas mimbar dan baginda menyebutkan sedekah dan menjaga harga diri daripada meminta-minta. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah pemberi, sedangkan tangan di bawah adalah peminta.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Abu Daud meriwayatkan; daripada Tsauban RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menjamin untukku (berjanji) untuk tidak meminta sesuatu daripada manusia, maka saya akan menjamin syurga untuknya?” Maka, saya berkata: “Saya.” Maka, Tsauban tidak meminta sesuatu pun kepada manusia.”

  • Manusia suci Sufyan ats-Tsauri: Mengambil pelajaran daripada bait hikmah, meneladani sikap terpuji

    Kufah – Foto Depositphotos

    Dilaporkan Sufyan ats-Tsauri ditanya mengenai apa dan bagaimana bersikap ramah terhadap Allah.

    Dia menjawab: “Bahawa anda tidak harus ramah terhadap setiap wajah yang ceria, terhadap setiap suara yang manis dan terhadap ucapan yang indah.”

    Maksudnya orang bersikap ramah terhadap Allah tidak mudah terpedaya dengan segala wajah makhluk yang indah, sebarang suara atau janji manis daripada makhluk, juga tidak terpedaya dengan segala macam ucapan petah daripada manusia.

    Di sebalik semua itu, seorang yang ingin bersikap ramah terhadap Allah hanya akan menanggapi dengan sewajarnya dan yang paling penting selalu berpegang kepada janji Allah.

    Dikatakan, tokoh sufi terkenal ini kesolehan dirinya tampak sejak dia berada di dalam kandungan ibunya.

    Suatu hari ibunya berada di tingkat atas rumahnya. Ibunya mengambil beberapa asinan (sejenis ikan masin yang dikeringkan) yang dijemur jiran tetangganya dan memakannya.

    Tiba-tiba janinnya (Sufyan yang masih berada dalam kandungan ibunya) itu menendang kuat sehingga ibu menyangka keguguran.

    Menurut satu sumber tulisan, nama lengkapnya ialah Abu Abdullah Sufyan bin Said ats-Tsauri, lahir di Kufah pada 97 Hijrah bersamaan 715 Masihi.

    Pada mulanya, dia belajar pada ayahnya sendiri, kemudian belajar daripada orang alim di masa itu, sehingga dia mendapat kemahiran tinggi di bidang hadis dan ilmu tauhid (teologi).

    Mengikut satu jalan cerita, dia pernah membangkang pejabat pemerintahan sehingga terpaksa menyembunyikan diri di kota Makkah.

    Dia menjalani hidup sufi dan zuhud yang kuat sehingga ahli sufi memanggilnya sebagai seorang manusia suci. Dia meninggal dunia pada 167 Hijrah bersamaan 778 Masihi di bandar Basrah.

    Dikisahkan juga bahawa penguasa atau khalifah pada masa itu ketika solat di hadapan Sufyan memutar-mutar kumisnya. Sebaik sahaja selesai solat, Sufyan berkata kepada khalifah: “Anda tidak patut melakukan solat seperti itu. Di padang Mahsyar nanti solat anda akan dilemparkan ke muka anda seperti sehelai kain lap (kain sapu) yang kotor.”

    “Berkatalah yang sopan dan beradab,” tegur khalifah.

    “Jika saya enggan melakukan tanggungjawab saya ini…,” jawab Sufyan dengan tenang, “semoga kencing saya berubah menjadi darah”.

    Mendengar kata-kata Sufyan itu, khalifah menjadi sangat marah. Lalu, diperintahkan agar dia dipenjarakan dan dihukum gantung. “Agar tidak ada orang lain yang seberani itu lagi terhadapku,” perintah khalifah.

    Bagaimanapun, akhir cerita itu, khalifah menjadi sedar diri terhadap kesilapannya dan memberikan penghormatan tinggi kepada golongan ulama khasnya kepada tokoh sufi.

    Sufyan juga adalah seorang yang mempunyai sifat penyayang sangat tinggi kepada sesama makhluk Allah.

    Diceritakan, pada suatu hari, ketika berada di pasar, Sufyan lihat seekor burung di dalam sangkar. Burung itu mengepakkan sayapnya dan mencicit-cicit dengan sedihnya. Sufyan membeli burung itu dan melepaskannya.

    Setiap malam burung itu datang ke rumah Sufyan, menunggu Sufyan apabila dia sedang solat dan sesekali hinggap di tubuhnya.

    Ketika Sufyan meninggal dunia dan jenazahnya diusung ke pemakaman, burung itu ikut menghantarnya dan seperti penghantar lain, ia pun mencicit-cicit sedih. Ketika jenazah Sufyan diturunkan ke dalam tanah, burung itu menyerbu masuk ke dalam kubur. Kemudian terdengar suara dari dalam kubur seperti berikut (maksudnya): “Allah Yang Maha Besar telah memberi ampunan kepada Sufyan, kerana menunjukkan belas kasih kepada makhluk-makhluk-Nya.”

    Burung yang dikasihi Sufyan itu pun mati menyertai kematiannya.

    Iktibar yang dapat dipetik daripada pengajaran kehidupan manusia sufi ini ialah keberanian menyampaikan sesuatu yang benar walaupun menghadapi risiko berat.

    Perasaan kasih sayang tidak seharusnya kepada sesama manusia sahaja. Bahkan sifat mulia itu semestinya juga terhadap seluruh makhluk sama ada yang bernyawa atau tidak. Sikap belas kasihan Sufyan terhadap haiwan iaitu seekor burung itu wajar diteladani. Dari sinilah manusia akan dapat membudayakan hidup penyayang kepada sekalian alam.

  • Tiga tanda anda orang dikehendaki jadi baik

    Hukama (ahli hikmah) ada mengatakan: “Apabila Allah menghendaki seorang hamba (Nya) menjadi baik, Dia menjadikannya orang yang mengerti agama, menjadikannya zuhud terhadap dunia dan menjadikannya menyedari terhadap segala aib dirinya.” (Dipetik daripada kitab Nasoihul Ibad)

    Maksudnya apabila Allah menghendaki seorang hamba-Nya menjadi manusia baik, iaitu baik menurut Allah dan menurut sesama manusia, orang itu akan mengerti dalam hal agama, daripada prinsipnya sehinggalah kepada cabang dan penghuraiannya atau praktiknya.

    Hatinya tenang dalam meniti hari-hari kehidupan yang dihiasi dengan ibadat dan amalan mulia, membantu sesama manusia, sekali gus memupuk kesejahteraan dan keharmonian. Sikapnya yang zuhud membuatkan dirinya tidak rakus dan cemas dengan gemerlapan duniawi.

    Dia dapat melihat aib pada dirinya iaitu segala kekurangan dirinya, yang harus segera diperbaiki atau diperelokkan, sebab dia sedar sudah menjadi sifat waktu tidak pernah menunggu walau sedetik.

    Begitulah ciri orang yang dikehendaki Allah untuk menjadi baik iaitu mengerti dalam ilmu agama, bersikap zuhud serta sedar terhadap kelemahan, kekurangan dan kesilapannya.

  • Lima kemanisan sabar

    Sabar menghadapi cabaran membolehkan anda menikmati manisnya – Foto hiasan Unsplash

    Bersabar bukan perkara mudah walaupun ungkapannya ringkas dan ringan di bibir. Namun dengan kesabaran itu anda akan merasai suatu perbezaan dan kemanisannya. Di sini dinyatakan beberapa kelebihan orang bersikap sabar:

    1. Mendapat kesejahteraan.

    Firman-Nya dalam surah ar-Ra’d, ayat 24 bermaksud: “Selamat sejahteralah kamu disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amalmu.”

    2. Terus maju dan selalu memegang pucuk pimpinan.

    Firman-Nya dalam surah as-Sajdah, ayat 24 bermaksud: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaumnya kepada agama Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

    3. Mendapat berita gembira dan rahmat Allah SWT.

    Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 155 bermaksud: “…dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

    4. Dicintai Allah

    Firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 146 antara lain bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar.”

    5. Mendapat darjat (kedudukan) tertinggi di dalam syurga.

    Firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 75 bermaksud: “Mereka itu dibalas dengan tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka…”

    Demikian beberapa kemanisan atau keistimewaan sifat sabar dengan kesudahannya pelbagai kebaikan kepada diri orang yang sabar. Jika selama ini kita selalu saja gopoh, cepat melenting dan putus asa, kali ini cuba belajar bersabar. Berdoa dengan kerap agar tergolong dalam kalangan orang yang sabar.

You cannot copy content of this page