Ada yang mengatakan: “Tiada pengasingan bagi orang mulia (berilmu) dan tiada tanah air bagi orang jahil.”
Orang mulia di sini ialah orang berilmu serta beramal soleh, selalu dimuliakan dan dihormati orang lain di mana sahaja berada, sebab selalu diperlukan kehadirannya dan menjadi rujukan.
Sebaliknya orang jahil akan berasa asing dan terpulau dalam masyarakat walaupun mereka berada di tempat kelahirannya sendiri. Mereka hidup dalam dunia tersendiri yang kadangkala (pada anggapan) hanya difahami mereka sendiri.
Justeru kemuliaan manusia terletak pada ilmu dan amalan soleh. Hal ini diperkuatkan dengan dengan firman-Nya yang memberikan jaminan darjat mulia bagi orang beriman dan berilmu.
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)