Tag: Rahsia orang bahagia

  • Rahsia orang bahagia

    Foto hiasan – Unsplash

    Ada orang berkata: “Orang paling bahagia adalah orang mempunyai hati yang alim, badan yang sabar serta puas dengan apa yang ada di tangannya.”

    Kata-kata itu dipetik daripada Nasoihul Ibad. Dihuraikan bahawa hati alim (mengetahui) ialah hati yang menyedari Allah sentiasa menyertainya di mana saja dia berada.

    Badan sabar ialah sabar dalam menunaikan perintah agama dan dalam menghadapi bencana atau musibah.

    Puas dalam menerima apa adanya adalah sikap berpuas hati dengan apa yang ada dengan penuh reda terhadap anugerah Allah dan tidak melihat atau mempunyai harapan kepada yang lain.

    Harta semata-mata

    Namun, ramai manusia keliru dalam mencari bahagia. Tumpuan mereka kepada harta semata-mata. Mereka menjadi sangat rakus. Pantang ada ruang dan peluang, pantas direbut demi mendapatkan habuan bernama harta.

    Apabila begitu, semua dikaut, selagi terdaya dalam apa cara sekalipun – kadangkala tanpa peduli hak siapa, tiada tolak ansur dan tanpa kasihan belas. Sifat mulia manusiawi terhakis apabila diri bermahkota harta. Banyak contoh boleh diperhatikan di lapangan sekeliling kita.

    Ya, tidak dinafikan sesetengah orang bertungkus-lumus kepada pencarian harta halal. Namun dalam pencarian harta itu, sering kali mereka menjadi kurang tertarik kepada tuntutan akhirat. Solat jadi hambar (tak khusyuk), derma atau membantu yang lain dengan hartanya jauh sekali kerana berasa ‘sayang’ pada harta. Bermacam-macam alasan mungkin berlegar di kepala, sebagai contoh ‘bukan mudah mahu dapat duit’, ‘eh…duit aku…suka hati akulah’, ‘kamu malas…aku rajin, sebab itu aku dapat’, ‘aku yang kerja siang dan malam…kamu apa yang kamu buat’. Oh bukan main lagak lagi.

    Kerana harta, ada orang tidak kenal orang, lupa kawan (yang suatu ketika membantunya walaupun tak banyak), lupa keluarga (yang satu ketika membelai, membela, mengajarnya) dan agama (yang meletakkan arah hidupnya berpedoman). Pada mereka, harta memberikan kebahagiaan, kedamaian dan kemuliaan. Hidupnya dirasakan cukup selesa, cukup hebat dengan harta diperolehinya. Berasa selamat dan bahagia. Tapi sejauh mana kebenarannya? Ketika mana Tuhan bagi sakit sedikit saja, makan tak berselera, muka masam, pucat, duduk dan berdiri pun jadi serba tak kena…harta yang kita julang, yang kita ratib itukah datang menjenguk, merawat dan menenangkan kita? Jawapannya tidak kan, tapi yang merawat sakit kita adalah orang yang berpengetahuan dalam bidang itu – doktor, jururawat, manakala yang datang menjenguk kita adalah ahli keluarga dan sanak-saudara kita malah kawan yang kita aniaya, yang kita tuduh dan buat cerita macam-macam, pecat atau buang daripada pekerjaan atau jawatannya, yang kita buat tak kenal itulah datang menjenguk dan memberikan kata-kata semangat, menenangkan jiwa duka kita, atau sekurang-kurang mendoakan kesejahteraan kita dari kejauhan.

    Iman dan amal

    Dalam al-Quran ada menegaskan, maksudnya: “Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikit pun, melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di syurga) dengan aman sentosa.” (Surah Saba, ayat 37)

    Bukan harta disebut dalam ayat itu tetapi iman dan amal soleh. Jadi, usah cepat berasa lega, berasa gah dengan harta benda jika berpaling dari akhirat.

    Dinyatakan juga sebagaimana maksudnya: “Harta kekayaanku tidak menolongku sedikit pun. Kuat kuasaku (hujahku membela diri) telah binasa dan hilang lenyap daripadaku.” (Surah al-Haqqah, ayat 28 dan 29)

    Harta bertimbun, tetapi jika tidak mengenal iman apa gunanya. Berpaling daripada petunjuk Allah hanya menempah kesukaran, kemurkaan dan kehinaan.

    “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Taha, ayat 124)

    Pada surah al-An’am, ayat 110 diterangkan: “Dan Kami palingkan hati mereka dan pandangan mereka sebagaimana mereka tidak (mahu) beriman kepadanya (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya dan Kami biarkan mereka meraba-raba dalam kesesatannya dengan bingung.”

    Nyata, tiada yang lain dapat menjamin kebahagiaan, melainkan keimanan dan amal soleh. Berusaha mencari kesempurnaan dalam menghadapi tuntutan hidup, tetapi jangan sampai lupa dan derhaka kepada Dia. Ada atau tiada harta, tanggungjawab beragama tetap dijunjung, dilaksana sebaik mungkin.

    Firman-Nya dalam surah ar-Ra’d, ayat 29 bermaksud: “Orang-orang beriman dan beramal soleh beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.”

    Dalam surah al-Baqarah, ayat 38 ditegaskan: “…maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

You cannot copy content of this page