Seorang bijaksana (ahli hikmah) ditanya: Mengapakah kami mendengar pengajian tetapi tidak dapat mengamalkannya?
Jawabnya: Kerana lima perkara:
1. Allah memberikan nikmat kepada kamu tapi kamu tidak bersyukur.
2. Kamu melakukan dosa tetapi tidak istighfar (memohon keampunan).
3. Kamu tidak suka mengamalkan apa yang telah kamu ketahui.
4. Kamu bersahabat dengan orang-orang yang baik tetapi tidak mengikuti amalan mereka.
5. Kamu selalu menguburkan orang mati tetapi tidak mengambil iktibar daripada mereka.
Sejauh mana kita bersyukur?
Abu Laits dalam karyanya Tanbihul Ghafilin dipetik sebagai berkata: Puji syukur itu ibadat orang-orang dahulu hingga yang terakhir, ibadat malaikat, ibadat nabi-nabi, ibadat semua penduduk bumi dan ibadat ahli syurga.
Said bin Jubair berkata: Pertama orang yang masuk syurga ialah orang yang selalu mengucapkan Alhamdulillah dalam senang atau susah.
Menurut keterangan dalam Tanbihul Ghafilin, syukur ada dua macam, iaitu am dan khas.
Adapun syukur secara amnya iaitu mengakui nikmat daripada Allah, lantas mengucapkan pujian dengan lidah.
Syukur secara khas, maka pujian dengan lidah dan makrifat di dalam hati, dan menjaga lidah sesama anggota badan daripada segala apa yang tidak dihalalkan oleh Allah.
Justeru bagaimana dengan syukur yang kita ucapkan, jika tutur bicara masih tidak dijaga, bahkan segala anggota badan dengan tenaga kekuatan dianugerahkan oleh-Nya tidak digunakan pada perkara kebaikan?
Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Ayat 40, surah an-Naml, bermaksud: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata. Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku, adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.”
Mohonlah keampunan
Seharusnya bagi seorang yang sempurna akal bertaubat pada setiap waktu supaya tidak tergolong orang-orang yang merajalela (menjadi-jadi, berbuat sesuka hati) dalam derhaka, sebab seorang yang selalu bertaubat tidak dianggap bergelimang dalam berbuat dosa meskipun dia mengulang dosa itu sehari sampai tujuh puluh kali. (Tanbihul Ghafilin)
Firman-Nya bermaksud: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang beriman – lelaki dan perempuan dan (ingatlah) Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Surah Muhammad, ayat 19)
Dalam riwayat Muslim, hadis daripada al-Agharr al-Muzani RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya terkadang hatiku tertutup dan sesungguhnya aku memohon ampunan kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Riyadus Solihin & Penjelasannya)
Beramal ibadat tak mudah
Ramai orang tahu dan ramai juga orang tidak tahu. Namun dalam ramai yang tahu, ramai juga buat-buat tidak tahu.
Hendak mengetahui sesuatu tidak susah tetapi hendak mengamalkan yang sudah diketahui tidak mudah.
Dalam hubungan ini, kita boleh perhatikan senario di sekeliling kita bahkan diri kita sendiri, sama ada dalam soal mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, halal haram ataupun patut tak patut dalam menghadapi kehidupan harian dan hubungan sesama manusia.
Sayidina Ali bin Abu Talib dipetik sebagai berkata: Seorang alim jika tidak mengamalkan ilmunya, maka orang enggan belajar daripadanya. Sebab seorang alim jika tidak mengamalkan ilmunya, maka ilmu itu tidak berguna baginya meskipun dia telah mengumpulkan ilmu sebanyak-banyaknya.
Sebab kami mendapat berita bahawa seorang daripada Bani Israel telah menghimpun ilmu sebanyak lapan puluh peti besar daripada ilmu, tiba-tiba Allah menurunkan wahyu kepada nabi, supaya memberitahu kepada orang alim itu: Andai kamu menghimpun dua kali ganda daripada ilmumu itu, maka tidak berguna selama kamu tidak mengerjakan tiga perkara:
1. Jangan cinta kepada dunia, sebab dunia ini bukan tempat tinggal tetap bagi orang Mukminin (beriman).
2. Jangan bersahabat dengan syaitan sebab ia bukan sahabat orang Mukminin.
3. Jangan mengganggu orang Mukminin sebab yang demikian itu bukan perbuatan orang Mukminin.
Al-Auzaie berkata: Sesiapa mengamalkan apa yang telah diketahui, maka akan diberikan taufik untuk mencapai apa yang belum diketahui.
Firman-Nya bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7)
Ayat 97, surah an-Nahl, bermaksud: “Sesiapa beramal soleh daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.”
“Sesiapa mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri…” (Maksud daripada ayat 15, surah al-Jatsiyah)
“Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah – sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Maksud daripada ayat 20, surah al-Muzzammil)