Sesungguhnya antara nikmat dunia, cukuplah bagimu Islam sebagai suatu nikmat, antara kesibukan cukuplah bagimu ketaatan sebagai suatu kesibukan dan antara pengajaran cukuplah bagimu kematian sebagai suatu pengajaran.
Petikan ungkapan Sayidina Ali
Berapa ramai manusia yang mengambil pengajaran dengan kematian, sedangkan setiap hari bahkan setiap detik ada yang menemuinya, apatah lagi ketika wabak maut melanda atau perang menerkam jiwa?
Firman Allah pada surah Ali Imran, ayat 185 bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”
Ayat 26, surah ar-Rahman bermaksud: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.”
Banyak harta atau miskin, mulia atau hina, berjawatan tinggi ataupun sudah hilang pekerjaan, cantik bergaya ataupun tidak, tinggal di villa mewah lengkap dengan peralatan canggih atau di pondok usang terpencil daripada arus kemodenan, semua akan bertemu dengan mati.
Lari atau carilah tempat berlindung di mana-mana pun, ke puncak gunung, jauh ke angkasa raya atau bersembunyi di bilik kebal yang bermeter-meter ketebalannya lagi rahsia daripada pengetahuan umum, tidak keluar, maut tetap mengekori kamu.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumuah, ayat 8)
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (Surah an-Nisa, ayat 78)
Justeru apa yang harus dilakukan?
Kata Abu Laits: Sesiapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan jahat sebab dia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya.
Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti seseorang ketika meninggal dunia iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka, kembali dua hal dan tinggal satu. Keluarga dan hartanya kembali dan yang tinggal adalah amalannya. (Sahih Bukhari dan Muslim)
Kata Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagaimana dipetik: Sesiapa masuk ke kubur tanpa membawa bekalan, maka seolah-olah dia mengharungi lautan tanpa bahtera.”
Justeru kamu dinasihatkan agar segera buat kebaikan, rajin melakukan ketaatan, jauhi kejahatan dan elak sebarang bentuk (walaupun kecil atau sedikit) penganiayaan kepada sesama manusia.