“Janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain.” (Maksud ayat 12, surah al-Hujurat)
Sesetengah orang suka dan bersungguh-sungguh mencari dan membuka aib orang lain. Malah yang kecil, yang biasa, diperbesarkan dan dijadikan sungguh luar biasa.
Jarang yang melihat aib pada diri sendiri. Mereka berasa diri sendiri sudah cukup baik, tiada yang tidak baik melainkan baik-baik belaka, sedang orang lain ada-ada saja yang tidak kena.
Mereka tidak kisah sekiranya orang lain dipandang rendah dan ditertawakan, kelihatan bersalah, dibenci khalayak. Malah mereka berasa seronok atau gembira.
Oleh kerana itu mereka terus mengata tak kira siapa, mengadakan tuduhan dan cepat membuat kesimpulan menyimpang fakta dan realiti.
Sedar atau tidak, selagi ada sikap sebegitu, kebencian terus wujud dan perseteruan tidak akan terpadam. Tanpa ragu ia boleh menggugat keharmonian dan semangat harmoni masyarakat.
Sayidina Ali RA dipetik berkata: “Jadilah engkau orang yang paling baik di sisi Allah, orang yang buruk di sisimu (pada pandangan matamu sendiri) dan jadilah orang yang sewajarnya di mata manusia (lain).”
Kata-kata ini sangat baik untuk dijadikan panduan atau tip dalam melakukan muhasabah atau memperbetulkan diri. Ya, semacam penjajaran atau alignment. Namun, berapa ramai yang nampak cela pada diri sendiri?
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Berapa ramai orang yang hanyut dibuai dengan kenikmatan ke atasnya? Berapa ramai orang yang termakan fitnah (terpedaya) dengan pujian ke atasnya? Berapa ramai orang yang tertipu kerana tertutup aib ke atasnya?”
Aib atau keburukan pada diri sendiri akan menjadi pengajaran sekiranya orang itu sedar dan insaf terhadap kesalahan dan kelemahannya.
Persoalannya, aib pada diri yang tidak pernah terbuka mungkin disebabkan tidak ada orang yang cuba menegur atau memberikan nasihat akan hanya menjadikan orang itu semakin jauh daripada kebenaran. Hal ini kerana orang itu berasa dirinya paling benar, paling baik dan sudah berada pada jalan lurus.
Ada orang berkata: “Orang yang mengakui kelemahan diri akan terpuji selamanya dan pengakuan adanya kekurangan itu satu tanda diterima amalnya.”
Menyedari adanya kekurangan pada diri sendiri juga menjadi tanda seseorang itu tidak angkuh. Sikap seperti ini disifatkan sebagai terpuji untuk selamanya.
Orang yang berasa dirinya masih dalam kekurangan dan kelemahan dalam sesuatu amalan soleh atau kebaikan bererti akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan amalannya. Maknanya dia tidak cepat berpuas hati terhadap sikap dan amalan ibadatnya.
Dalam kehidupan bermasyarakat, setiap orang perlu ada toleransi, saling menghormati dan mengasihi antara satu sama lain.
Benci, marah dan permusuhan hanya akan membuatkan hidup berasa bosan dan sukar, langkah terbatas, jiwa tertekan – selalu sakit hati.
Disebutkan dalam Nasoihul Ibad, Nabi Sulaiman AS bersabda kepada puteranya: “Janganlah kamu menganggap banyak mempunyai seribu sahabat. Seribu sahabat itu sedikit. Dan janganlah kamu menganggap sedikit mempunyai seorang musuh kerana seorang musuh itu bererti banyak.”
Mengapa seseorang itu harus membenci yang lain sedangkan Allah SWT sangat mengasihi hamba- Nya? Dari mana datangnya kebencian itu?
“Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada manusia.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)