Polis tahan 4 lelaki berkait kes rogol remaja 14 tahun

BALIK PULAU — Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir remaja perempuan berusia 14 tahun di Sungai Ara, dekat sini kelmarin.

Mereka berusia 20 hingga 25 tahun ditahan di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas semalam selepas mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata mangsa masih bersekolah, mendakwa keluar rumah jam 12.30 pagi dan mengikut suspek pertama bersiar-siar dengan menaiki motosikal di sekitar kawasan Relau, di sini.

Katanya, mangsa kemudian mendakwa dibawa ke rumah sewa suspek berkenaan pada jam 2 pagi sebelum dirogol lelaki terbabit dan selepas itu, suspek kedua dan ketiga yang tidak dikenalinya datang dan melakukan perbuatan sama.

“Tiga suspek berkenaan bersama mangsa kemudian keluar menonton lumba motosikal di Bayan Baru sebelum remaja itu dirogol sekali lagi secara bergilir-gilir oleh mereka sebaik pulang ke rumah sama,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini.

Katanya, mangsa mengenali suspek pertama pada April lalu menerusi kenalan, tapi tidak mengenali suspek lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan,” katanya.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page