Enam menuju ke syurga

Foto Dreamstime

Menurut Sayidina Ali bin Abi Talib RA, sesiapa menghimpun enam macam, maka bererti telah benar-benar berusaha untuk mendapatkan syurga dan lari dari api neraka:

Mengenal Allah, lalu mentaati-Nya.

Mengenali syaitan, lalu menentangnya.

Mengenali hak (kebenaran), lalu mengikutinya.

Mengenali batil (kepalsuan, yang tidak benar, salah), lalu menghindarinya.

Mengenali dunia, lalu mengabaikannya.

Mengenali akhirat, lalu berusaha untuk mencapainya. (Dilaporkan dalam Tanbihul Ghafilin)

1. Mengenal Allah dan mentaati-Nya

Allah menciptakan, menghidupkan dan mematikan. Dia memberikan rezeki. Manusia wajib mentaati Allah iaitu dengan melakukan segala perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):

“Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

2. Mengenali syaitan dan menentang atau memusuhinya

Syaitan adalah musuh yang perlu diawasi.

“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.” (Surah Fathir, ayat 6)

Ayat ini menyatakan permusuhan syaitan terhadap manusia dan tipu dayanya yang mesti dijauhi.

3. Mengenali akhirat, lalu menuntutnya (membekalkan diri untuk ke sana)

Akhirat adalah lebih baik dan kehidupannya berkekalan.

“Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A’la, ayat 17)

4. Mengenali dunia dan mengabaikannya

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba- lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak…” (Surah al-Hadid, ayat 20)

5. Mengenali hak (yang benar), lalu mengikutinya

Allah Taala, Nabi Muhammad SAW, Islam, al-Quran dan akhirat semuanya adalah benar.

“Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawa Allah Dialah saja Tuhan yang sebenar- benarnya dan bahawa segala yang mereka sembah selain daripada Allah itulah yang nyata palsunya…” (Surah al-Hajj, ayat 62)

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik), sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Isra, ayat 81)

“Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (al-Quran), padahal ia adalah benar…” (Surah al-An’am, ayat 66)

6. Mengenali yang batil (perkara salah) dan menghindari atau menjauhinya

“Berlakunya yang demikian kerana sesungguhnya orang-orang kafir menurut perkara yang salah dan sesungguhnya orang-orang beriman menurut perkara yang benar daripada Tuhan mereka…” (Surah Muhammad, ayat 3)

Mereka yang menurut perkara salah beroleh kerugian sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Mukmin, ayat 78 bermaksud: “…rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.”

Kisah Sahabat: Salman Al-Farisi, Dari Parsi ke Madinah

You cannot copy content of this page