Lima tahap capai takwa

Foto Unsplash

Daripada sesetengah hukama (hukama kata jamak kepada hakim ertinya ahli hikmah atau orang bijaksana) sebagaimana dilaporkan dalam Nasoihul Ibad: (Bagi mencapai takwa) ada lima tahap, sesiapa berjaya merentasi seluruhnya, dia mendapat ketakwaan sempurna iaitu:

1. Memilih kesukaran atas kenikmatan.

2. Memilih kesungguhan (rajin) atas kerehatan (malas).

3. Memilih kelemahan atas keperkasaan.

4. Memilih diam atas bercakap yang tidak berguna.

5. Memilih mati atas kehidupan.

Penjelasan

Bagi mencapai takwa terbentang ilmu yang panjang, seperti jalan-jalan di atas bukit. Sesiapa yang dapat merentasi tahap itu, dia memperoleh takwa yang sempurna iaitu dengan meninggalkan perbuatan dikehendaki nafsu dan menjauhi larangan Allah dengan cara berikut:

1. Memilih kesukaran atas (berbanding) kenikmatan iaitu memilih kesukaran melawan hawa nafsu yang cenderung kepada kesenangan dan kenikmatan, untuk melakukan ibadat yang kadangkala dirasakan beban ke atasnya.

2. Memilih kesungguhan (rajin) atas (berbanding) kerehatan, maksudnya kesungguhan dalam usaha taqarrub (bersungguh-sungguh dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah).

3. Memilih kelemahan atas keperkasaan iaitu bersikap tawaduk dan rendah diri (tidak meninggi diri, tidak angkuh, tidak berasa lebih hebat). Kadang-kadang kerana sikap ini, maka orang beriman dipandang lemah di mata orang bukan Islam. Padahal orang beriman itu sebenarnya kuat – buktinya mereka dapat bersikap tawaduk.

4. Memilih diam atas (berbanding) banyak cakap, iaitu meninggalkan ucapan yang di dalamnya tidak mengandungi sebarang kebaikan. Banyak cakap selalunya menyebabkan banyak silap dan begitu juga banyak tulis, maka banyak merapu-rapu.

5. Memilih mati atas (berbanding) hidup. Ertinya selalu bersedia untuk menghadapi mati dengan lebih banyak mengumpulkan bersama untuk dibawa bersamanya iaitu bekalan akhirat.

Kisah Sahabat: Salman Al-Farisi, Dari Parsi ke Madinah

You cannot copy content of this page