Hukama (ahli hikmah) ada mengatakan: “Apabila Allah menghendaki seorang hamba (Nya) menjadi baik, Dia menjadikannya orang yang mengerti agama, menjadikannya zuhud terhadap dunia dan menjadikannya menyedari terhadap segala aib dirinya.” (Dipetik daripada kitab Nasoihul Ibad)
Maksudnya apabila Allah menghendaki seorang hamba-Nya menjadi manusia baik, iaitu baik menurut Allah dan menurut sesama manusia, orang itu akan mengerti dalam hal agama, daripada prinsipnya sehinggalah kepada cabang dan penghuraiannya atau praktiknya.
Hatinya tenang dalam meniti hari-hari kehidupan yang dihiasi dengan ibadat dan amalan mulia, membantu sesama manusia, sekali gus memupuk kesejahteraan dan keharmonian. Sikapnya yang zuhud membuatkan dirinya tidak rakus dan cemas dengan gemerlapan duniawi.
Dia dapat melihat aib pada dirinya iaitu segala kekurangan dirinya, yang harus segera diperbaiki atau diperelokkan, sebab dia sedar sudah menjadi sifat waktu tidak pernah menunggu walau sedetik.
Begitulah ciri orang yang dikehendaki Allah untuk menjadi baik iaitu mengerti dalam ilmu agama, bersikap zuhud serta sedar terhadap kelemahan, kekurangan dan kesilapannya.