Manusia suci Sufyan ats-Tsauri: Mengambil pelajaran daripada bait hikmah, meneladani sikap terpuji

Kufah – Foto Depositphotos

Dilaporkan Sufyan ats-Tsauri ditanya mengenai apa dan bagaimana bersikap ramah terhadap Allah.

Dia menjawab: “Bahawa anda tidak harus ramah terhadap setiap wajah yang ceria, terhadap setiap suara yang manis dan terhadap ucapan yang indah.”

Maksudnya orang bersikap ramah terhadap Allah tidak mudah terpedaya dengan segala wajah makhluk yang indah, sebarang suara atau janji manis daripada makhluk, juga tidak terpedaya dengan segala macam ucapan petah daripada manusia.

Di sebalik semua itu, seorang yang ingin bersikap ramah terhadap Allah hanya akan menanggapi dengan sewajarnya dan yang paling penting selalu berpegang kepada janji Allah.

Dikatakan, tokoh sufi terkenal ini kesolehan dirinya tampak sejak dia berada di dalam kandungan ibunya.

Suatu hari ibunya berada di tingkat atas rumahnya. Ibunya mengambil beberapa asinan (sejenis ikan masin yang dikeringkan) yang dijemur jiran tetangganya dan memakannya.

Tiba-tiba janinnya (Sufyan yang masih berada dalam kandungan ibunya) itu menendang kuat sehingga ibu menyangka keguguran.

Menurut satu sumber tulisan, nama lengkapnya ialah Abu Abdullah Sufyan bin Said ats-Tsauri, lahir di Kufah pada 97 Hijrah bersamaan 715 Masihi.

Pada mulanya, dia belajar pada ayahnya sendiri, kemudian belajar daripada orang alim di masa itu, sehingga dia mendapat kemahiran tinggi di bidang hadis dan ilmu tauhid (teologi).

Mengikut satu jalan cerita, dia pernah membangkang pejabat pemerintahan sehingga terpaksa menyembunyikan diri di kota Makkah.

Dia menjalani hidup sufi dan zuhud yang kuat sehingga ahli sufi memanggilnya sebagai seorang manusia suci. Dia meninggal dunia pada 167 Hijrah bersamaan 778 Masihi di bandar Basrah.

Dikisahkan juga bahawa penguasa atau khalifah pada masa itu ketika solat di hadapan Sufyan memutar-mutar kumisnya. Sebaik sahaja selesai solat, Sufyan berkata kepada khalifah: “Anda tidak patut melakukan solat seperti itu. Di padang Mahsyar nanti solat anda akan dilemparkan ke muka anda seperti sehelai kain lap (kain sapu) yang kotor.”

“Berkatalah yang sopan dan beradab,” tegur khalifah.

“Jika saya enggan melakukan tanggungjawab saya ini…,” jawab Sufyan dengan tenang, “semoga kencing saya berubah menjadi darah”.

Mendengar kata-kata Sufyan itu, khalifah menjadi sangat marah. Lalu, diperintahkan agar dia dipenjarakan dan dihukum gantung. “Agar tidak ada orang lain yang seberani itu lagi terhadapku,” perintah khalifah.

Bagaimanapun, akhir cerita itu, khalifah menjadi sedar diri terhadap kesilapannya dan memberikan penghormatan tinggi kepada golongan ulama khasnya kepada tokoh sufi.

Sufyan juga adalah seorang yang mempunyai sifat penyayang sangat tinggi kepada sesama makhluk Allah.

Diceritakan, pada suatu hari, ketika berada di pasar, Sufyan lihat seekor burung di dalam sangkar. Burung itu mengepakkan sayapnya dan mencicit-cicit dengan sedihnya. Sufyan membeli burung itu dan melepaskannya.

Setiap malam burung itu datang ke rumah Sufyan, menunggu Sufyan apabila dia sedang solat dan sesekali hinggap di tubuhnya.

Ketika Sufyan meninggal dunia dan jenazahnya diusung ke pemakaman, burung itu ikut menghantarnya dan seperti penghantar lain, ia pun mencicit-cicit sedih. Ketika jenazah Sufyan diturunkan ke dalam tanah, burung itu menyerbu masuk ke dalam kubur. Kemudian terdengar suara dari dalam kubur seperti berikut (maksudnya): “Allah Yang Maha Besar telah memberi ampunan kepada Sufyan, kerana menunjukkan belas kasih kepada makhluk-makhluk-Nya.”

Burung yang dikasihi Sufyan itu pun mati menyertai kematiannya.

Iktibar yang dapat dipetik daripada pengajaran kehidupan manusia sufi ini ialah keberanian menyampaikan sesuatu yang benar walaupun menghadapi risiko berat.

Perasaan kasih sayang tidak seharusnya kepada sesama manusia sahaja. Bahkan sifat mulia itu semestinya juga terhadap seluruh makhluk sama ada yang bernyawa atau tidak. Sikap belas kasihan Sufyan terhadap haiwan iaitu seekor burung itu wajar diteladani. Dari sinilah manusia akan dapat membudayakan hidup penyayang kepada sekalian alam.

You cannot copy content of this page